KANGAR: Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) boleh berlaku lebih awal dengan jangkaan hujung tahun ini jika krisis Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terus memuncak.
Bagi pemerhati politik, mereka melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan tekanan untuk mempertimbangkan pilihan raya awal bagi menangani ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib berkata, isyarat PRU16 semakin jelas melalui ucapan Anwar dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang membayangkan kemungkinan pilihan raya tersebut dipercepatkan jika hubungan dalam kerajaan terus retak.
“Jangkaan saya PRU16 pada tahun ini boleh berlaku namun ia bukan pilihan paling selamat melainkan krisis PH-BN benar-benar tidak terkawal. Pilihan lebih rasional ialah PRN dahulu, khususnya Johor, Melaka atau negeri-negeri yang tempohnya semakin hampir kemudian PRU16 dipertimbangkan pada 2027.
“Bagi saya, PRU16 jika diadakan pada Julai atau hujung tahun ini adalah senario berisiko tinggi tetapi tidak mustahil jika Anwar menilai bahawa mandat baharu lebih baik daripada terus menanggung ketidaktentuan politik hubungan antara PH-BN yang makin tidak stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, PRU16 mungkin diadakan lebih awal sebagai penyelesaian kemelut politik Kerajaan Perpaduan di Johor dan Negeri Sembilan.
Mohamad Faizal berkata, daripada segi strategi politik, PRU pada tahun ini sangat berisiko kepada Anwar di sebalik pelbagai isu masih melingkari seperti ekonomi rakyat, kos sara hidup, subsidi, ketidakpuasan akar umbi dan perpecahan dalaman PKR yang boleh menjadi beban kempen dalam pilihan raya berkenaan.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, jika pendekatan solo menyebabkan UMNO atau BN kurang mendapat sambutan, sekurang-kurangnya ia memberi masa kepada parti itu mengubah strategi berdepan PRU16.
“Jadi saya lihat, akan berlaku PRN Johor dan Melaka terlebih dahulu sebelum PRU16. Soal PRU16, saya jangka Anwar akan menamatkan tempoh penggal sehingga hujung tahun depan seterusnya membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU16 diadakan,” katanya.-UTUSAN.










