Indonesia isytihar tiga wilayah autonomi baharu di Papua - Utusan Malaysia

Indonesia isytihar tiga wilayah autonomi baharu di Papua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian, mengisytiharkan penubuhan tiga wilayah autonomi baharu (DOB) di Papua dalam satu majlis perasmian yang diadakan di Jakarta hari ini.

Tito yang mewakili Presiden, Joko Widodo merasmikan penubuhan tiga wilayah berkenaan iaitu Papua Selatan, Papua Tengah dan Papua Pegunungan serta melantik pemangku Gabenor bagi setiap wilayah tersebut.

Beliau turut membacakan sejarah pembentukan tiga wilayah baharu itu bermula daripada aspirasi masyarakat sehinggalah kepada penyediaan beberapa peraturan.

Tito dan beberapa wakil kemudian memukul alat muzik Tifa sebagai simbol perasmian tiga wilayah baharu itu.

Pembahagian tiga wilayah baharu di Papua dipersetujui oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan kerajaan susulan kelulusan tiga undang-undang berkaitan Wilayah Papua Selatan, Papua Tengah dan Papua Pegunungan pada akhir Jun lalu.

Penambahan tiga DOB di Papua itu menjadikan Indonesia kini mempunyai 37 wilayah berbanding 35 sebelum ini.

Wilayah Papua Selatan meliputi Boven Digoel, Mappi dan Asmat dengan Marauke sebagai ibu kotanya.

Wilayah Papua Tengah pula melibatkan Nabire sebagai ibu kotanya selain Puncak Jaya, Paniai, Mimika, Puncak, Dogiyai, Intan Jaya, dan Deiyai.

Sementara Papua Pegunungan meliputi Pegunungan Bintang, Yahukimo, Tolikara, Mamberamo Tengah, Yalimo, Lanny Jaya, dan Nduga dengan Jayawijaya dipilih sebagai ibu kotanya.

Bagi mengisi kekosongan jawatan kerajaan, kerajaan melantik tiga pemangku gabenor di tiga wilayah baharu itu sebelum gabenor muktamad ditentukan pada pilihan raya tahun 2024.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.