Riyadh salahkan Biden punca kenaikan harga minyak dunia

Riyadh salahkan Biden punca kenaikan harga minyak dunia

PERTEMUAN Joe Biden dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bagi membincangkan isu harga dan pengeluaran minyak dunia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Kementerian Luar Arab Saudi menyalahkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden ekoran peningkatan harga minyak dunia selepas mendakwa presiden itu sepatutnya mengeluarkan lebih banyak minyak dari telaga milik negara itu dan bukannya mendesak negara lain meningkatkan pengeluaran.

Menterinya, Adel Ahmed Al-Jubeir ketika bercakap kepada Fox News berkata, adalah menjadi kesalahan Washington kerana tidak meningkatkan pengeluaran bahan api domestiknya.

“Dengan hormatnya, punca harga minyak di AS dan juga di tempat lain meningkat mendadak adalah kerana anda mengalami masalah rizab yang sudah pun wujud selama lebih 20 tahun.

“Anda tidak membina kilang penapisan selama beberapa dekad dan masalah itu bukan kesalahan negara lain, tetapi negara anda,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai tindak balas terhadap kemarahan Washington terhadap keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) minggu ini.

OPEC+ yang diketuai Arab Saudi memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari.

Keputusan itu dilihat memberi rangsangan besar kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin berhubung larangan mengeksport bekalan minyak ke Eropah.

Dalam pada itu, Adel menegaskan, semua negara tidak boleh melihat minyak atau bahan api yang lain sebagai senjata untuk menekan negara lain yang akhirnya boleh bertukar menjadi ‘musuh’.

“Minyak bukan senjata, bukan pesawat pejuang, bukan tangki. Anda tidak boleh menembaknya, anda tidak boleh berbuat apa-apa dengannya.

“Kami melihat minyak sebagai bahan komoditi dan kami melihat minyak sebagai bahan utama kepada ekonomi global di mana kami mempunyai kepentingan yang besar.

“Idea bahawa Arab Saudi akan melakukannya untuk membahayakan AS atau terlibat dalam apa jua cara secara politik adalah tidak benar sama sekali,” jelas Adel.

Dia juga mendakwa ramai mentafsir lawatan Biden ke Arab Saudi dengan cara yang salah.

Menurutnya, harga minyak bukan satu-satunya perkara yang perlu dibincangkan sebaliknya mengenai ‘hubungan dua hala’ kedua-dua negara dan menggalakkan keamanan.

Adel menegaskan Arab Saudi komited untuk memastikan kestabilan dalam pasaran minyak bagi manfaat pengguna dan pengeluar.

Dalam pada itu, jurucakap White House, Karine Jean-Pierre menyifatkan keputusan OPEC+ sebagai ‘kesilapan’ dan dilakukan dengan cara yang salah.

Keputusan itu dibuat selepas pertemuan bersemuka antara menteri tenaga di Vienna Rabu lalu.

Tindakan itu yang turut mengejutkan Eropah, bakal meningkatkan kewangan Kremlin dan membantu Putin mengharungi larangan Eropah terhadap import minyak, menaikkan harga bahan api di seluruh dunia ketika musim sejuk semakin hampir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya