WELLINGTON: Penunjuk perasaan terdiri daripada penternak membanjiri sekitar jalan utama di beberapa bandar di New Zealand bagi membantah cadangan kerajaan mengenakan cukai pelepasan gas rumah hijau daripada haiwan ternakan.
Konvoi traktor, 4×4 dan kenderaan ladang menyebabkan kesesakan lalu lintas di Wellington, Auckland dan hab utama lain ketika penunjuk perasaan menuntut kerajaan berhaluan tengah membatalkan rancangan mengenakan cukai ‘sendawa dan kentut’ haiwan.
Pada awal bulan ini, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengumumkan bakal memperkenalkan levi pertama seumpamanya di dunia ke atas pelepasan metana dan nitrus oksida yang dihasilkan enam juta lembu dan 26 juta biri-biri di negara itu sebagai langkah menangani perubahan iklim.
Ribuan penternak berkumpul dengan memegang sepanduk yang menyifatkan dasar itu sebagai ‘usuk’ selain memberi amaran cukai itu akan mengakibatkan harga makanan menjadi lebih mahal serta memberi risiko kepada punca pendapatan mereka.
Seorang penunjuk perasaan yang dikenali sebagai Chris berkata, kebanyakan penternak sudah terkesan pada ketika ini.
“Agak sukar untuk meneruskan aktiviti ternakan dalam keadaan kerajaan tidak memberi sokongan kepada kami,” katanya.
Pencemaran dihasilkan kira-kira enam juta ekor lembu dan 26 juta biri-biri dikenal pasti antara masalah alam sekitar terbesar negara itu.
Antaranya, gas metana daripada sendawa lembu dan nitrous oksida dalam air kencing ternakan.
Sebelum ini, kerajaan New Zealand berikrar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, dengan memacu negara itu ke arah neutral karbon menjelang 2050.
Antara rancangannya termasuk mengurangkan pelepasan metana daripada haiwan ternakan sebanyak 10 peratus menjelang 2030 dan sehingga 47 peratus pada tahun 2050. – AFP/AGENSI










