N’DJAMENA: Presiden Chad, Mahamat Idriss Deby mengisytiharkan darurat bencana akibat banjir yang melanda lebih sejuta penduduk di negara itu.
Memetik laporan Al Jazeera, banjir jarang melanda negara itu ketika musim hujan yang biasa berlaku dari bulan Mei hingga Oktober di bahagian selatan.
Namun pada tahun ini, Chad dilanda hujan paling lebat yang disifatkan terburuk dalam tempoh beberapa dekad.
“Bermula hari ini, darurat bencana diisytiharkan untuk membendung dan menangani bencana alam ini dengan lebih baik,” kata Deby dalam ucapan disiarkan di televisyen.
Menurut Deby, banjir itu menjejaskan sebanyak 636 lokaliti di 18 daripada jumlah 23 wilayah di negara ini.
Katanya, kawasan yang paling teruk terjejas adalah wilayah selatan Mayo Kebbi Est, Logone Occidental, Tandjile, Moyen-Chari dan Mandoul.
Tambah beliau, lebih 465,000 hektar ladang dan 19,000 ekor ternakan terjejas akibat bencana itu.
Deby memaklumkan ratusan penduduk yang tinggal di wilayah N’Djamena terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat banjir sejak beberapa hari lalu.










