fbpx

Rakyat Indonesia ‘kuat makan manis’

PENGAMBILAN gula berlebihan di dalam minuman berisiko tinggi menyebabkan masalah kesihatan.-AGENSI

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia mendapati sebanyak 61.27 peratus penduduk negara ini yang berusia tiga tahun ke atas mengambil minuman bergula lebih sekali pada setiap hari.

Lapor CNN Indonesia, sebanyak 30.22 peratus mengambil minuman bergula antara satu hingga enam kali setiap minggu, dan hanya 8.51 peratus mengambil minuman tersebut kurang tiga kali setiap bulan.

Ketua Pengarah Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Maxi Rein Rondonuwu memberi amaran pengambilan gula berlebihan sama ada di dalam makanan atau minuman berisiko tinggi menyebabkan masalah kesihatan seperti kandungan gula tinggi dalam darah, obesiti dan diabetes.

“Sudah tentu ini akan menambah beban kewangan kepada sektor kesihatan Indonesia.

“Malah, terdapat lebih lima penyebab utama kematian di negara ini berpunca akibat penyakit yang tidak berjangkit,” katanya.

Berdasarkan data kementerian, Maxi berkata, sebanyak 28.7 peratus penduduk Indonesia mengambil Gula Garam Lemak (GGL) melebihi sukatan yang dianjurkan.

Jelasnya, had pengambilan GGL sudah ditetapkan dalam Peraturan Menteri Kesihatan Nombor 30 Tahun 2013 tentang Pencantuman Informasi Kandungan Gula, Garam dan Lemak serta Makanan Siap Diproses dan Sedia Dimakan.

“Satu daripada aspek pengaturan dalam nilai gizi seperti kandungan lemak hingga gula perlu tertera pada iklan dan promosi media seperti di dalam buku menu,” katanya.

Maxi juga meminta orang ramai menjaga kesihatan diri sendiri dan keluarga supaya terhindar daripada penyakit diabetes, lemak berlebihan dan hipertensi.

“Masyarakat perlu menjaga pengambilan gula, garam dan lemak sesuai dengan syor maksimum seperti gula hanya 50 gram sehari atau bersamaan empat senduk sudu makan, garam sebanyak dua gram serta lemak hanya 67 gram,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN