Helios Solar AG sasar dana EUR27 Juta, perkukuh pengembangan di eropah, asia tenggara - Utusan Malaysia

Helios Solar AG sasar dana EUR27 Juta, perkukuh pengembangan di eropah, asia tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat tenaga boleh diperbaharui berpangkalan di Jerman, Helios Solar AG mengumumkan rancangan untuk melaksanakan Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran Terkawal (General Standard) Bursa Saham Frankfurt bagi mempercepat agenda pengembangan global dan memperkukuhkan kedudukannya dalam industri tenaga solar antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ong Thuan Ming berkata, langkah itu dijangka membuka akses lebih luas kepada pasaran modal Eropah, selain meningkatkan keupayaan kewangan syarikat dalam membiayai pelbagai projek tenaga solar di pasaran utama dunia.

Katanya, di bawah pelan penyenaraian tersebut, Helios Solar AG  menawarkan sehingga 7.6 juta saham pada harga EUR4.00 sesaham. Tempoh langganan dijadual berlangsung dari 22 Jun hingga 6 Julai 2026, manakala dagangan pertama saham syarikat di Bursa Frankfurt dijangka bermula pada 28 Julai depan.

“Penyenaraian di Bursa Saham Frankfurt bukan sahaja mengukuhkan kredibiliti syarikat di peringkat global, malah menyediakan platform yang lebih kukuh untuk mempercepatkan pertumbuhan serta memperluaskan penyelesaian tenaga solar inovatif ke lebih banyak pasaran,” katanya.

Jelasnya lagi, IPO merupakan satu titik penting dalam pertumbuhan syarikat, malah akan menjadi pemangkin kepada peluasan operasi di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Ong Thuan turut berkata, melalui tawaran tersebut, syarikat menjangkakan hasil bersih sekitar EUR26.9 juta jika keseluruhan saham yang ditawarkan berjaya dilanggan.

Sebahagian besar dana berkenaan sekitar 58.8 peratus, jelas Ong Thuan lagi, ia akan disalurkan bagi memperluas operasi di Malaysia termasuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Public Islamic Bank Berhad dan Boost Bank Berhad serta menubuhkan Pusat Latihan dan Inovasi bagi menyokong pembangunan bakat dan teknologi tenaga hijau.

Sementara itu, 32.5 peratus daripada dana akan digunakan untuk mengembangkan operasi di Jerman dan pasaran Eropah, termasuk pembangunan dua projek tenaga solar utama di Bulgaria. Baki dana pula akan diperuntukkan bagi memperkukuh kehadiran syarikat di Kemboja dan Singapura.

Pada masa sama, perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pembangunan pusat data turut meningkatkan keperluan terhadap bekalan elektrik yang stabil, mampan dan berdaya saing.

Menurut syarikat itu, teknologi fotovoltaik kini muncul sebagai antara sumber tenaga paling kompetitif dari segi kos dan paling mudah dikembangkan, menjadikannya komponen penting dalam transformasi tenaga global.

Berpangkalan di Munich, Helios Solar AG merupakan syarikat induk kepada Kumpulan Helios yang terlibat dalam pembangunan, pembiayaan dan pelaksanaan projek tenaga solar untuk sektor komersial, industri, kediaman serta taman solar berskala utiliti.

Selepas penggabungan Helios Photovoltaic Sdn Bhd dari Malaysia ke dalam Helios Solar AG pada musim bunga 2026, kumpulan itu kini memiliki struktur operasi yang lebih kukuh bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang dan memperluaskan pengaruhnya dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui global.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN