JOHOR BAHRU: Parti Rakyat India Malaysia tidak mahu bersaing dengan mana-mana parti politik masyarakat India lain termasuklah MIC, sebaliknya mahu fokus kepada berkhidmat dan membela nasib rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Dr. S. Saswin berkata, spekulasi yang mendakwa MIPP sengaja menyasarkan atau merampas kerusi tradisi milik parti lain adalah tidak tepat sama sekali.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa MIPP Johor berkata, pihaknya bersama rakan komponen PN lain sedang meneliti kawasan berpotensi, termasuk empat kerusi yang dikenal pasti mempunyai keperluan tinggi terhadap suara dan kepimpinan masyarakat India serta penduduk setempat.
“Kami tidak pernah meletakkan MIC sebagai pesaing politik utama, fokus kami adalah dinamika politik yang sihat. Apa yang lebih penting bagi kami ialah memenangi hati rakyat. Politik bukan sekadar pembahagian kerusi atau perebutan jawatan, tetapi tentang kepercayaan, khidmat bakti, dan keikhlasan dalam membantu masyarakat.
“MIPP akan terus konsisten dengan turun padang untuk mendekati masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bagi memastikan setiap suara rakyat dapat didengari,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Saswin, pihaknya percaya pengundi di negeri ini matang dan bijak membuat penilaian berdasarkan merit kerja serta khidmat bakti ditawar, bukannya bersandar kepada polemik politik yang tidak berkesudahan.
“Kami hormat semua parti politik yang berjuang secara sihat dan berharap suasana politik yang matang dapat diwujudkan demi masa depan Johor yang lebih gemilang. Kami tidak kejar kerusi, sebaliknya kami kejar kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN










