LONDON: Raja Charles III bakal memegang takhta sebagai pemerintah Britain baharu, selepas Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun.
Terdapat beberapa protokol yang perlu dilakukan oleh kerabat diraja Britain sebelum beliau menaiki takhta secara rasmi.
APAKAH GELARANNYA?
Raja Charles boleh memilih mana-mana empat namanya, iaitu Charles Philip Arthur George untuk melengkapkan gelarannya dan beliau bukanlah satu-satunya kerabat diraja yang akan mengalami perubahan gelaran.
Pewarisnya, Putera William bersama isteri, Kate Middleton kini memegang gelaran Duke dan Duchess of Cornwall dan Cambridge.
Selain itu, tiada gelaran diberikan kepada isteri Charles, Camilla yang kini menjadi Ratu Consort.
Consort merupakan terma yang digunakan untuk isteri raja.
UPACARA RASMI
Charles diisytiharkan sebagai raja secara rasmi pada hari ini di Istana St James di London di hadapan badan upacara yang dikenali sebagai Majlis Pemilihan.
Badan itu dianggotai beberapa ahli Parlimen senior, pegawai tertinggi kerajaan, pesuruhjaya tinggi Komanwel dan Datuk Bandar London.
Lebih 700 dijangka akan hadir dalam upacara tersebut.
Selepas semua proses selesai, Charles akan diumumkan sebagai Raja Britain yang baharu secara rasmi.
Buat pertama kali sejak 1952, lagu kebangsaan Britain akan diubah kepada ‘God Save the King’.
Tembakan meriam juga akan dilepaskan di Hyde Park, Menara London dan kapal perang tentra laut diraja, selain pengisytiharannya turut dibacakan di Edinburgh, Cardiff dan Belfast.
PERTABALAN
Pertabalan Charles sebagai Raja Britain dijangka tidak akan dilakukan dalam masa terdekat dan apabila berlaku, beliau bakal menjadi raja ke 40 yang ditabalkan di Westminster Abbey.
KETUA KOMANWEL
Selaras dengan pangkatnya, Charles kini menjadi ketua negara-negara Komanwel yang mengandungi 56 negara merdeka dan 2.4 bilion penduduk.
Bagi 14 negara termasuk United Kingdom (UK), Raja merupakan ketua negara.