Kapal Russia ceroboh perairan Britain

Kapal Russia ceroboh perairan Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sebuah kapal risik Russia, Yantar menceroboh perairan Britain dan menghala pancaran laser ke arah juruterbang tentera, kata Menteri Pertahanan Britain, John Healey.

Dalam ucapan di London, Healey berkata kapal itu berada di pinggir perairan Britain, utara Scotland dan direka untuk mengumpul maklumat serta memetakan kabel bawah laut Britain.

Pesawat tentera RAF Poseidon-8 dikerahkan mengawasi pergerakan kapal berkenaan dan juruterbang mengesahkan mereka menjadi sasaran laser.

“Tindakan Russia ini amat berbahaya. Mesej saya kepada Russia dan Presiden Vladimir Putin ialah, ‘Kami melihat anda, kami tahu apa yang anda lakukan dan jika Yantar bergerak ke selatan minggu ini, kami bersedia,’” katanya.

Kedutaan Russia di London membidas kenyataan itu, menegaskan Yantar hanyalah ‘kapal penyelidikan oseanografi yang beroperasi di perairan antarabangsa.

Kedutaan menafikan kapal itu menyasarkan komunikasi bawah laut atau keselamatan Britain, malah menuduh London ‘menimbulkan histeria militeristik dan merosakkan keselamatan Eropah’.

Kapal itu memasuki zon ekonomi eksklusif Britain, sejauh 200 batu nautika, namun kekal di pinggir perairan wilayah, iaitu 12 batu nautika dari pantai.

Healey menegaskan tindakan Russia tidak akan menghalang Britain daripada terus menyokong Ukraine dan kerajaan akan kekal berwaspada terhadap ancaman.

Pengumuman itu menandakan kali kedua tahun ini Britain menegur aktiviti Yantar yang dikatakan memetakan kabel bawah laut untuk Britain dan sekutu NATO, sebahagian daripada unit penyelidikan laut dalam Russia, GUGI.

Healey menekankan ini kali pertama Russia menunjukkan laser secara langsung ke pesawat tentera Britain.

“Kami mengambil perkara ini dengan serius. Saya telah mengubah peraturan penglibatan tentera laut supaya Yantar dapat dipantau lebih dekat. Britain mempunyai pilihan tentera siap sedia sekiranya kapal itu mengubah haluan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN