ALOR SETAR: Penawar (antidote) gigitan ubur-ubur perlu ditempatkan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi susulan kematian seorang kanak-kanak akibat sengatan hidupan laut itu, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, wujud perbincangan mengenai keperluan itu memandangkan dalam kes kematian mangsa berusia dua tahun, Vladimir Lakubanets, ia perlu dihantar dari Pulau Pinang.
“Mungkin ada keperluan supaya vaksin (antidote) tersebut disediakan di hospital berkenaan kerana saya dimaklumkan ketika kejadian vaksin perlu dibawa dari Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, papan tanda amaran mengenai kehadiran ubur-ubur termasuk spesies berbahaya ubur-ubur kotak, dipasang di Pantai Chenang sejak Khamis lalu susulan cuaca buruk yang melanda.
Ribut yang berlaku kebelakangan ini berkemungkinan membawa kumpulan ubur-ubur kotak ke kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong.
Sabtu lalu, percutian sebuah keluarga warga Russia bertukar tragedi apabila Lakubanets maut kerana disengat ubur-ubur ketika bermain air di pantai.
Mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah pada pukul 9.46 pagi, Rabu lalu selepas dirawat sejak 16 November.
Mohd. Salleh berkata, selain itu, perlu lebih banyak papan tanda amaran berkaitan ubur-ubur dipasang di semua pantai yang menjadi tumpuan pengunjung di Langkawi.
Beliau berkata, bukan sekadar amaran, papan tanda itu juga seharusnya dilengkapi maklumat berkaitan tindakan kecemasan sekiranya berlaku insiden sengatan. – UTUSAN










