LONDON: Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola dilaporkan mencapai persetujuan awal untuk menyertai Liverpool selepas mengadakan perbincangan dengan pengurus baharu The Reds, Andoni Iraola.
Bagaimanapun, perpindahan pemain berusia 23 tahun itu ke Anfield masih belum terjamin apabila kedua-dua kelab dilaporkan mempunyai perbezaan besar dalam penilaian harga pemain berkenaan.
Menurut laporan, Barcola sudah memaklumkan PSG bahawa dia tidak berhasrat melanjutkan kontraknya yang akan tamat pada 2028, selain mahu mencuba pengalaman baharu dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Pemain antarabangsa Perancis itu dikatakan mengadakan perbincangan positif bersama Iraola serta beberapa pegawai kanan Liverpool bagi membincangkan kemungkinan perpindahan ke Anfield, namun tiada perjanjian rasmi dimeterai setakat ini.
Selepas tiga musim cemerlang bersama PSG, Barcola kini mahu mendapatkan tempat sebagai pemain utama di sebuah kelab besar Eropah selepas kecewa apabila kerap diketepikan ke bangku simpanan dalam aksi penting kebelakangan ini.
Pemain kelahiran Lyon itu kini hanya memberi tumpuan untuk merealisasikan perpindahan ke Anfield, dengan berharap persetujuan peribadinya bersama Liverpool dapat membantu mempercepatkan rundingan antara kedua-dua kelab.
Namun, usaha Liverpool mendapatkan khidmat Barcola dijangka berdepan cabaran besar apabila PSG masih bertegas dengan penilaian mereka dan dilaporkan mahukan yuran perpindahan yang boleh melebihi 120 juta euro (RM558 juta). – AGENSI/UTUSAN









