11 kerusi penentu 

11 kerusi penentu 

KEMPEN perang bendera parti di bulatan PD Sunggala Gateway mewarnai suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.- UTUSAN/ MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikenal pasti menjadi penentu kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada hari pengundian Sabtu ini.

Kerusi berkenaan ialah Chennah, Linggi, Klawang, Ampangan, Sikamat, Lenggeng, Labu, Paroi, Pilah, Repah dan Jeram Padang.

Tumpuan terarah kepada kerusi-kerusi itu berikutan persaingan dijangka berlangsung sengit selain statusnya sebagai kerusi kelabu yang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, penilaian terhadap kerusi berkenaan turut mengambil kira kemungkinan berlaku peralihan sebahagian undi Melayu serta perubahan sokongan pengundi bukan Melayu, sekali gus menjadikan kesemua 11 kerusi itu tidak lagi boleh dianggap sebagai kubu selamat mana-mana gabungan.

Namun Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya mengakui terdapat beberapa kawasan DUN yang dijangka berdepan saingan sengit meskipun yakin BN mampu merampas semula beberapa kerusi termasuk Chennah.

Katanya, BN tidak menganggap mana-mana DUN itu sebagai kerusi selamat kerana landskap politik sentiasa berubah dan keputusan pilihan raya banyak dipengaruhi tahap sokongan rakyat.

Katanya, sokongan pengundi di sesuatu kawasan bergantung kepada prestasi kerajaan sebelum ini selain rekod perkhidmatan calon yang ditampilkan.

“Ada beberapa kawasan yang saya yakin kita boleh memperoleh ataupun memenangi semula kerusi itu dan ada beberapa kawasan yang nampak agak sukar.

“Tetapi tidak mustahil untuk kita lihat satu keputusan yang mengejutkan akan berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, BN bertanding 25 kerusi manakala selebihnya oleh PN manakala PH pula mencuba nasib di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, gabungan itu optimis mampu mempertahankan penguasaan di Negeri Sembilan berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya, PH akan terus menggandakan usaha bagi memastikan kesemua 36 calon memperoleh kemenangan pada hari pengundian termasuk kerusi sengit.

“Kita akan berusaha bertungkus-lumus kerana kita melihat peluang itu ada. Sambutan yang agak baik kita terima daripada pengundi dari pelbagai kelompok dan lapisan. Insya-Allah kita akan tingkatkan usaha terutama dalam hari-hari yang terakhir ini,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan kini diberikan kepada 16 kerusi yang ditandingi PKR selain memperhebat usaha mendekati pengundi muda menerusi pendekatan lebih dekat dan bersesuaian.

“Buat pengundi muda termasuk dalam kawasan-kawasan yang ditandingi oleh calon-calon PKR, kita akan melakukan program yang sedikit berbeza selain ceramah kelompok ataupun ceramah umum.

“Bermula esok, selama lebih 24 jam, calon-calon akan mula bersiaran secara langsung dalam aplikasi TikTok,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kerusi DUN Linggi pula boleh menjadi ‘meter politik’ keputusan pada Sabtu ini.

Katanya, Linggi mempunyai nilai simbolik dan strategik yang sangat besar kerana kerusi itu dimenangi BN dengan majoriti 1,461 undi pada 2023 tetapi kini ditandingi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Jika PH merampas Linggi, keputusan itu menunjukkan PH mampu menembusi kawasan Melayu tradisional BN. 

“Jika BN mempertahankannya, laluan PH untuk memperoleh majoriti menjadi lebih sukar dan kedudukan kepimpinan Aminuddin turut menerima kesan besar.

“Linggi kini menjadi ‘meter politik’ yang mengukur kekuatan sebenar PH dan BN kerana keputusan pembentukan kerajaan negeri tidak semestinya ditentukan oleh kawasan bandar atau kubu tradisional semata-mata” katanya.

Sambil itu katanya, setakat ini hasil dapatan di lapangan, pihaknya menjangkakan BN dan PN berpotensi memenangi 22 kerusi sekali gus memudahkan pembentukan kerajaan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali juga mengakui, kerusi-kerusi berkenaan berada dalam kedudukan persaingan seimbang atau 50-50 antara parti bertanding.

“Kerusi Sikamat, Ampangan, Labu, Lenggeng, Jeram Padang, Chennah dan Linggi adalah sangat sukar diramal memandangkan setiap parti mempunyai kelebihan.

“Keputusan PRN Negeri Sembilan tidak akan ditentukan oleh satu gelombang besar, sebaliknya bergantung kepada kemampuan setiap blok membawa keluar penyokong masing-masing pada hari pengundian.

“Bagi kerusi-kerusi marginal, perbezaan beberapa ratus undi sahaja juga berpotensi menentukan kemenangan atau kekalahan calon bertanding,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN