Kos bina semula Ukraine dianggarkan RM1.56 trilion - Utusan Malaysia

Kos bina semula Ukraine dianggarkan RM1.56 trilion

PUSAT beli belah Retroville yang musnah selepas dibedil tentera Russia di barat laut Kyiv, Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Kos membina semula Ukraine akibat kemusnahan disebabkan operasi ketenteraan Russia di negara itu, dianggarkan akan menelan perbelanjaan sekitar AS$349 bilion (RM1.56 trilion).

Ia berdasarkan laporan dikeluarkan oleh Bank Dunia, kerajaan Ukraine dan Suruhanjaya Eropah. 

Anggaran itu dibuat ketika operasi ketenteraan Russia sudah menyebabkan lebih AS$97 bilion (RM436.2 bilion) kerosakan kepada Ukraine hingga 1 Jun lalu.

Hasil penilaian mendapati anggaran itu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang selagi konflik belum berakhir.

Menurut laporan itu, Ukraine juga mengalami kerugian sebanyak AS$252 bilion (RM1.13 trilion) menerusi gangguan aliran ekonomi dan pengeluaran, serta perbelanjaan tambahan dikaitkan dengan operasi pencerobohan.

Malah, jelasnya, penghijrahan satu pertiga penduduk Ukraine juga dijangka meningkatkan kadar kemiskinan kepada 21 peratus berbanding dua peratus dilaporkan sebelum perang.

Secara keseluruhannya, laporan itu menganggarkan keperluan pembinaan semula Ukraine bakal mencecah AS$349 bilion (RM1.56 trilion) setakat 1 Jun lalu.

Jumlah itu menunjukkan kira-kira 1.6 kali ganda lebih tinggi berbanding prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai AS$200 bilion (RM899.5 bilion) yang dicatatkan pada 2021.

Menurut laporan, daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$105 bilion (RM472.2 bilion) diperlukan untuk menangani keutamaan segera seperti membina semula ribuan sekolah yang rosak atau musnah dan lebih 500 hospital.

Ia juga penting untuk persediaan menghadapi musim sejuk yang akan datang seperti membaiki rumah, memulihkan alat pemanas dan membeli gas.

Bagaimanapun, jelas laporan itu, jumlah dinyatakan itu hanya merupakan anggaran awal dan berkemungkinan meningkat sekiranya konflik berterusan.

Sementara itu, Pengarah Serantau Bank Dunia bagi Eropah Timur, Arup Banerji berkata, penemuan itu berdasarkan metodologi yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Anggaran itu juga menyokong persidangan Kumpulan Tujuh Negara yang bakal diadakan di Berlin pada 25 Oktober depan,” katanya. – REUTERS      

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN