Tragedi sengatan obor-obor yang meragut nyawa kanak-kanak warga Russia di Pulau Langkawi beberapa hari lalu membuka mata ramai tentang kelemahan prosedur keselamatan di pantai dan pulau peranginan.
Berbanding di luar negara, amaran ubur-ubur itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin keselamatan harian terutama ketika musim sengatan.
Contohnya, papan tanda khas dan bendera dipasang di lokasi tumpuan, manakala papan digital sentiasa dikemas kini sebaik haiwan marin itu dilaporkan muncul.
Di beberapa pantai pula, stesen cuka disediakan untuk rawatan awal.
Malah, penjaga pantai sentiasa bersedia memberi bantuan sekiranya berlaku sengatan.
Jika keadaan mendesak, pantai akan ditutup sementara sebagaimana amalan di Australia, Hawaii dan Thailand.
Bukan itu sahaja, jaring keselamatan turut dipasang apabila ubur-ubur berbahaya dikesan.
Namun, di Malaysia, usaha ke arah itu mungkin baru bermula dan sering bersifat bermusim.
Keadaan itu sekali gus mendedahkan pengunjung kepada risiko sengatan spesis berbahaya, jika tidak peka atau tersasar ke kawasan tanpa amaran.
Antaranya ialah ubur-ubur kotak (chironex fleckeri), Irukandji (carukia barnesi) dan Portuguese man-of-war (physalia physalis).
Berdasarkan rekod Angkatan Pertahanan Awam (APM), sehingga Oktober lalu terdapat 22 kes sengatan direkodkan di Langkawi.
Insiden terbaharu yang membabitkan kematian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Vladimir Lakubanets itu merupakan satu-satunya kes maut.
Tahun lalu, menara penyelamat Pantai Chenang turut merekodkan 47 kes sengatan ubur-ubur.
Menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, jutaan pelancong dijangka kembali ke pantai-pantai peranginan di negara ini.
Mereka berhak menikmati keindahan alam tanpa kebimbangan yang sepatutnya dapat dicegah.
Justeru, tragedi di Langkawi wajar menjadi pencetus kepada peningkatan prosedur keselamatan pantai.
Sudah tiba masanya kita memperkukuhkan langkah keselamatan itu secara sistematik.
Daripada papan tanda kekal, stesen cuka, latihan kakitangan hotel sehinggalah ke pemantauan pantai yang lebih teratur.
Dengan persediaan ini, sekurang-kurangnya tragedi di Langkawi tidak lagi berulang, sekali gus nyawa pelancong asing dan tempatan dapat diselamatkan.
-Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia










