SOALAN
Pernahkah jumpa kawan yang mesra di awal perkenalan tetapi tiba-tiba menghilang tanpa khabar bila hubungan persahabatan mulai rapat? Sedih sangat, terasa macam tiada orang mahu berkawan dengan saya.
-Yang dilema
JAWAPAN
Memilih kawan sejati bukan perkara mudah.
Kadangkala, orang yang kelihatan baik di depan belum tentu mampu menjadi sahabat sebenar.
Jika mereka tidak memilih anda sebagai rakan rapat, jangan terus bersedih mungkin ini peluang untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.
Berikut beberapa cara untuk mengurus emosi:
1)Berfikiran positif – Jika seseorang berdiam diri selepas mengenali anda, jangan terus beranggapan yang anda tidak disukai. Kadangkala orang menjauh bukan sebab kita, tetapi kerana mereka pun sedang berperang dengan diri sendiri. Latih diri untuk bersikap tenang agar hati tidak mudah terluka.
2)Belajar berdikari – Sahabat itu penting, tetapi jangan bergantung sepenuhnya pada mereka untuk mendapat kebahagiaan. Luangkan masa untuk diri sendiri, lakukan aktiviti yang memberi kepuasan dan belajar menikmati saat bersendirian.
3)Meluahkan perasaan – Bila hati terasa berat, tulis jurnal, berdoa atau bercakap dengan seseorang yang dipercayai. Meluahkan perasaan membantu meredakan tekanan, mengurangkan rasa terperangkap dan memberi ruang untuk bertenang.
4)Hargai kawan yang ada – Jangan terlalu fokus pada mereka yang menjauh sehingga lupa menghargai rakan yang sentiasa di sisi. Luangkan masa bersama dengan mereka, ucapkan terima kasih dan lakukan perkara kecil untuk menghargai mereka.
5)Jaga sempadan hati – Tidak semua orang perlu tahu isi hati anda. Berkawanlah dengan mereka yang ikhlas mahu berkawan tanpa mengharapkan balasan sama. Ia dapat membantu anda melindungi emosi daripada rasa kecewa dan membina keseimbangan dalam perhubungan.
6)Fokus pada diri sendiri – Gunakan masa untuk mengenali diri dengan melakukan perkara yang menyeronokkan dan memberi ketenangan. Bila anda gembira dengan diri sendiri, rasa sunyi berkurangan dan hati lebih tenang, sekali gus memupuk keyakinan diri.
Kehilangan kawan bukan tanda kelemahan, tetapi peluang untuk menguatkan diri.
Terima hakikat yang tidak semua orang akan memahami kita, kerana daripada situ kita akan belajar menghargai diri dan membina ketenangan dari dalam.










