ATHENS: Sebuah kapal layar mewah bertemakan filem perisikan popular, James Bond dilaporkan karam, berhampiran pantai di Greece.
Kapal layar berukuran 48.7 meter yang dikenali sebagai ‘007′, dipercayai milik ahli perniagaan dari Switzerland, namun dikatakan berlayar sambil mengibarkan bendera Britain.
Lapor Daily Mail, kapal 007 terkandas selepas melanggar batu berhampiran Teluk Kolona di pulau Kythnos.
Alat GPS pada kapal 007 itu dikatakan tidak berfungsi dan membawa kapal terbabit ke arah pantai sebelum ia melanggar batu sehingga bahagian bawahnya bocor dan dimasuki air.
Pengawal pantai kemudiannya bertindak balas setelah menerima panggilan kecemasan dan lima penumpang yang berada di dalam kapal layar itu berjaya diselamatkan selepas ia mula karam pada petang Jumaat lalu.
Pada Sabtu lalu, kapal layar itu hampir tenggelam sepenuhnya.
Kapal layar 007 itu mampu memuatkan sehingga 10 penumpang dan lima anak kapal.
Malah, kapal itu yang mempunyai logo ikonik nombor 007 berserta gambar pistol, turut dilengkapi dengan helipad tersendiri.
Kapal layar itu dibina oleh Limbungan Aegean Yachts berpangkalan di Bodrum pada tahun 2006.
Anggota perkhidmatan kecemasan mampu menahan kapal itu selain mengehadkan pencemaran.
Pengawal Pantai sedang menjalankan siasatan terhadap insiden kapal karam itu.