LONDON: Indonesia menerusi Menteri Luarnya, Retno Marsudi lantang membela nasib rakyat Palestin ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Retno menegaskan, dunia memerlukan anjakan paradigma baharu untuk meningkatkan kestabilan dan keamanan, selain menjadi tanggungjawab semua pihak secara menyeluruh.
Katanya, Indonesia akan terus bersama Palestin sehingga negara itu bebas daripada penindasan Israel.
“Rakyat di Palestin, Afghanistan berhak memperoleh keamanan dan kehidupan yang sejahtera, seperti yang dinikmati kebanyakan penghuni bumi hari ini.
“Golongan wanita juga berhak mendapat pendidikan setaraf dengan semua pihak dan tiada pengecualian sewenang-wenangnya,” katanya.
Jelas Retno, tanpa anjakan paradigma baharu, keamanan sejagat tidak akan dapat dicapai sampai bila-bila.
Selain itu, beliau memaklumkan banyak negara membangun ‘mencari’ Kumpulan 20 (G20) yang menyaksikan Indonesia sebagai presiden untuk mengembangkan ekonomi seluruh dunia.
“Seluruh dunia menaruh harapan mereka terhadap G20 untuk menjadi pemangkin pemulihan ekonomi global, terutamanya bagi negara membangun.
“G20 tidak boleh gagal. Kita tidak boleh biarkan pemulihan global gagal dan kita perlu bertindak segera untuk menangani krisis makanan global,” ujarnya.