179 syarikat langgar syarat dinyahaktif dari sistem eCOSS

179 syarikat langgar syarat dinyahaktif dari sistem eCOSS

Fuziah Salleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 179 syarikat yang melanggar syarat serta peraturan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi pengedaran minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram dinyahaktifkan daripada sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak mematuhi had kuantiti penyimpanan dibenarkan, membuat jualan melebihi had ditetapkan, menjual minyak masak bersubsidi kepada bukan warganegara, beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh serta mempunyai nisbah belian dan jualan meragukan.

“Kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan atau ketidakpatuhan yang boleh menyebabkan ketirisan subsidi, termasuk penjualan kepada warga asing serta aktiviti mencurigakan dalam rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Fuziah berkata, KPDN turut menerima pelbagai aduan, maklum balas dan cadangan berkaitan sistem berkenaan sejak diperkenalkan.
Katanya, berdasarkan rekod kementerian, sebanyak 13,354 aduan dan maklum balas diterima pada tahun 2024, diikuti 5,320 aduan pada tahun 2025 selepas aplikasi Mobile eCOSS diperkenalkan.

“Bagi tahun 2026 sehingga kini, sebanyak 9,050 aduan dan maklum balas telah direkodkan, selari dengan peningkatan jumlah pengguna yang kini melebihi 5.01 juta orang.

“Peningkatan jumlah aduan itu mencerminkan pertambahan penggunaan sistem oleh rakyat serta kesediaan pengguna untuk menyalurkan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan.

“Setiap aduan, cadangan dan pandangan yang diterima akan diteliti dan diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan sistem eCOSS terus mesra pengguna dan berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Fuziah turut memaklumkan, sebanyak enam kes direkodkan melibatkan pelanggaran Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) [Minyak Masak] 2026 melalui tindakan penguatkuasaan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN.

“Daripada jumlah itu, tiga kes melibatkan penjualan minyak masak peket bersubsidi kepada bukan warganegara dengan nilai rampasan sebanyak RM65.

“Manakala tiga lagi kes melibatkan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh bukan warganegara dengan nilai rampasan RM15,180 serta jumlah denda sebanyak RM7,000,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN