AMK sudah serah senarai calon untuk PRN - Utusan Malaysia

AMK sudah serah senarai calon untuk PRN

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim bercakap kepada pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Rambutan, di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) sudah menyerahkan senarai nama calon berpotensi untuk dipertimbangkan bagi mewakili parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, senarai calon itu diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Calon untuk penilaian sebelum keputusan muktamad dibuat kepimpinan parti.

“Saya sudah mengenal pasti calon-calon yang berpotensi dan telah menghantar senarai nama mereka kepada Jawatankuasa Pemilihan Calon.

“Kini kita hanya menunggu keputusan penilaian. Insya-Allah, keputusan itu akan diketahui tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Rambutan, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Kamil, AMK berusaha mengetengahkan bukan sahaja calon muda, malah individu yang mempunyai kelayakan, kemampuan dan kebolehan untuk membawa aspirasi parti pada PRN berkenaan.

Beliau berkata, AMK berharap lebih banyak peluang diberikan kepada calon daripada sayap itu memandangkan sebahagian besar pengundi pada PRN nanti terdiri daripada golongan berusia 45 tahun ke bawah.

“Kita meletakkan harapan tinggi agar lebih banyak ruang diberikan kepada calon daripada sayap itu memandangkan sekitar 50 hingga 55 peratus pengundi pada PRN nanti terdiri daripada mereka yang berusia 45 tahun ke bawah.

“Justeru itu, faktor calon juga penting sebagai pertimbangan untuk kita mengukuhkan sokongan dan meyakinkan pengundi untuk bersama dengan kita.

“Malah, ini juga merupakan peluang terbaik untuk mengetengahkan tokoh-tokoh baharu dan memberi ruang kepada barisan pelapis yang berpotensi untuk tampil sebagai pemimpin masa depan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, AMK akan mengerahkan seramai mungkin jentera bagi membantu kempen pada PRN Johor dan Negeri Sembilan nanti.

Katanya, walaupun kekuatan jentera tempatan memainkan peranan penting, AMK akan menggerakkan jentera dari seluruh negara secara maksimum bagi memastikan perjalanan kempen berjalan lancar.

“Kita akan kerahkan semaksimum mungkin jentera kita untuk memeriahkan pesta demokrasi di Johor dan juga Negeri Sembilan, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN