Australia sedia padam reputasi ‘underdog’ menentang Turkiye

Australia sedia padam reputasi ‘underdog’ menentang Turkiye

TONY Popovic-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Australia sedar mereka bukan pilihan utama apabila membuka kempen Piala Dunia menentang Turkiye di Stadium BC Place, namun Socceroos tetap bertekad mencipta kejutan dalam aksi sulung Kumpulan D, esok.

Pengendali Australia, Tony Popovic, menegaskan anak buahnya sudah lali dengan status ‘underdog’ dan bersedia membuktikan kemampuan sebenar di pentas terbesar bola sepak dunia.

“Kami faham tidak ramai yang meletakkan harapan kepada kami dari luar pasukan, media dan penyokong sendiri. Namun kami sudah biasa dengan situasi ini,” kata Popovic.

Turkiye hadir selaku pasukan pilihan dengan barisan muda berbakat seperti Arda Güler dan Kenan Yildız yang dijangka menjadi tumpuan, sekali gus menjadikan mereka lawan berbahaya dalam pertembungan itu.

Namun Australia yang layak ke Piala Dunia buat kali keenam berturut-turut serta pernah mara ke pusingan 16 terbaik di Qatar 2022 sebelum tewas kepada Argentina, enggan sekadar menjadi pelengkap jadual.

“Kami yakin mampu mempamerkan persembahan baik dan menunjukkan apa yang Australia mampu lakukan,” ujar Popovic.

Beliau turut mengakui Turkiye memiliki kualiti individu dan kolektif yang kuat serta disokong semangat tinggi penyokong, namun menegaskan fokus utama adalah kepada kekuatan sendiri.

“Kami tahu ini cabaran besar menentang lawan kuat, tetapi ini Piala Dunia. Kami sudah bersedia, pemain teruja dan sasaran kami sudah tentu untuk memulakan kempen dengan kemenangan,” katanya.

Australia yang berada dalam Kumpulan D turut dijadual berdepan cabaran tuan rumah bersama Amerika Syarikat dan Paraguay, menjadikan aksi pembukaan ini amat penting untuk kedua-dua pasukan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN