KYIV: Presiden Russia, Vladimir Putin kelmarin mengulangi ideanya untuk menambah had terhadap perjanjian eksport bijiran Ukraine menerusi Laut Hitam dan mengancam untuk menghentikan semua bekalan tenaga ke Eropah sekiranya Brussels mengehadkan harga gas negara itu.
Menerusi ucapan lantangnya, Putin menegaskan Russia tidak akan kalah dalam peperangan di Ukraine, biarpun berdepan pelbagai cabaran.
“Russia tidak kehilangan apa-apa dan tidak akan kalah,” tegasnya.
Perjanjian bijirin yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Turkiye itu membolehkan koridor perlindungan diwujudkan selepas Ukraine kehilangan akses terhadap laluan eksport utamanya apabila Russia menyerang negara ini menerusi daratan, lautan dan udara.
Direka bagi menurunkan harga makanan global dengan meningkatkan bekalan, perjanjian itu merupakan satu-satunya jalan diplomatik yang dicapai antara Moscow dan Kyiv selepas perang berlanjutan lebih enam bulan.
Putin menegaskan, perjanjian itu melibatkan penghantaran bijirin, baja dan makanan lain kepada Kesatuan Eropah (EU) dan Turkiye, bukannya kepada negara miskin.
“Mungkin Russia patut pertimbangkan bagaimana untuk mengehadkan eksport bijirin di sepanjang laluan yang dipersetujui kerana Moscow sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan,” ujarnya.
Selain itu, rancangan EU untuk menetapkan paras harga gas asli dari Russia menyebabkan Putin mengancam untuk menghentikan semua bekalan sekiranya langkah itu dilaksanakan.
“Kami tidak akan membekalkan gas asli, minyak, arang batu dan minyak pemanas. Eropah pasti akan rasai kesannya segera,” tegas Putin.
Sementara itu, White House menuduh Russia ‘mempergunakan tenaga sebagai senjata untuk menyerang Eropah’. – REUTERS