fbpx

Bayi, kanak-kanak ‘diupah’ ceriakan warga emas di Jepun

TOKYO: Sebuah pusat jagaan warga emas di selatan Jepun ‘mengupah’ beberapa bayi bagi menemani dan menceriakan penghuni di pusat berkenaan.

Menurut kontrak, gaji bayi tersebut dibayar dalam bentuk lampin pakai buang dan susu formula.

Rekrut baharu di pusat jagaan terletak di Kitakyushu itu haruslah bayi dan kanak-kanak yang berusia di bawah empat tahun.

Penjaga juga perlu menandatangani kontrak yang menetapkan bayi dan kanak-kanak berkenaan boleh bekerja pada ‘bila-bila masa mereka mahu’.

Menurut kontrak, bayi itu juga dibenarkan berehat apabila berasa lapar, mengantuk atau bergantung pada mood mereka.

Ketua pusat jagaan, Kimie Gondo memaklumkan lebih 30 bayi sudah mendaftar setakat ini.

Jelasnya, bayi itu akan ditugaskan untuk menaikkan semangat dan menceriakan lebih 100 penghuni yang kebanyakannya berusia 80-an.

“Dengan melihat bayi saja boleh membuatkan penghuni kami tersenyum,” katanya.

Sementara itu, satu notis iklan pekerjaan yang disematkan pada dinding pusat jagaan itu tertera: ‘Kami sedang mengupah!’ dalam tulisan besar dan memaklumkan bahawa ‘bakal pekerja’ akan menerima ganjaran untuk perkhidmatan mereka dalam bentuk lampin dan susu tepung.

Jelas notis itu, bagi calon yang berjaya, tanggungjawab utama dan berkemungkinan hanya itu tugasan mereka adalah dibawa ‘bersiar-siar’ di sekitar pusat jagaan sambil ditemani penjaga mereka.

“Bayi berkenaan akan bersama ibu mereka pada setiap masa. Ia hanya seperti mereka dibawa berjalan-jalan di taman,” kata Gondo.

Penghuni di pusat jagaan warga emas kelihatan gembira dengan kehadiran si cilik malah ceria menyapa, berbual-bual atau menawarkan pelukan kepada mereka.

“Mereka sangat comel. Bayi ini mengingatkan saya ketika waktu menjaga anak dahulu,” kata seorang penghuni kepada stesen televisyen tempatan.

Setakat ini, Gondo berkata, skim itu berjaya membuahkan hasil yang cemerlang.

“Ramai kanak-kanak bergaul dengan penghuni kami dengan baik, malah mereka kini seperti datuk nenek dan cucu sebenar,” katanya. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN