KUALA LUMPUR: Pemain gitar kumpulan Kristal, Rody merasakan tiada keperluan baginya untuk bergabung dengan kumpulan Kristal X apatah lagi menjayakan sebarang konsert bersama.
Kata Rody, 40, hal demikian kerana dia masih mempunyai kumpulan Kristal yang perlu diteruskan, justeru merasakan tiada keperluan untuk bergabung dengan kumpulan tersebut.
“Bukan saya tidak mahu berjumpa, cuma tiada keperluan kerana saya masih bersama Kristal, sebuah band perlu saya teruskan.
“Lagipun Kristal ini bukanlah kumpulan ‘legend’ contoh seperti Exists yang dapat mengumpulkan semula ahlinya untuk melakukan konsert bersama-sama.
“Orang nak bayar kami (membuat persembahan) pun berapa sahaja. Bayangkan kalau kami bergabung dengan pihak sana. Kami ada keluarga untuk ditanggung.
“Sebab itu saya merasakan tiada keperluan untuk berjumpa. Saya percaya rezeki kami dan pihak sana tetap ada,” katanya.
Rody berkata demikian sempena Sidang Media Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026.
Dia mengulas mengenai keenganannya menerima pelawaan Lan Solo untuk bergabung menerusi konsert OG Kristal-25 Tahun Dalam Satu Malam yang berlangsung baru-baru ini.
Kata Rody lagi, dia berharap isu tersebut selesai bagi membolehkan kedua-dua pihak meneruskan kehidupan masing-masing secara baik.
“Manusia ini, apabila berhadapan, okey. Tapi di belakang, dia jadi lain.
“Saya dan Lan sudah kenal lama, walau apa keadaan sekalipun saya tak suka cerita buruk pasal orang lain. Kita teruskan sahajalah apa yang masih ada.
“Saya percaya rezeki itu sentiasa ada untuk pihak kami dan pihak sana,” katanya lagi.
Vokalis Kristal, Ewal dalam pada itu memaklumkan kemungkinan penyanyi Rock legenda tanah air, Datuk Awie akan melamar dan menaungi semula kumpulan tersebut.
“Belum sah, masih dalam proses melamar. Beliau pun merancang untuk menerbitkan single berbahasa Inggeris untuk kami. Tapi masih di peringkat perbincangan. Tapi, jalan ke arah perubahan itu sudah nampak,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ewal memaklumkan serasi bersama kristal dan berharap dapat berterusan dengan kumpulan berkenaan.
“Kami kenal sejak kecil dan selalu melakukan persembahan bersama-sama, jadi tidak timbul soal keserasian.
“Sebagai penyanyi, saya bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan tohmahan atau pujian.
“Saya tahu kemampuan saya di tahap mana. Jadi saya teruskan sahaja bersama Kristal dan Alhamdulillah, tahun ini adalah yang tahun keenam kami bersama,” katanya.










