LONDON: Aplikasi TikTok dikecam hebat kerana mendedahkan remaja kepada beberapa trend berbahaya sehingga berisiko membunuh golongan tersebut.
Lapor Daily Mail, antara trend berbahaya itu termasuk cabaran Blackout dan cara `mencuri’ kereta baharu dengan menghidupkan enjin kenderaan dengan memintas sistem pencucuh kereta.
“Gergasi media sosial itu gagal menyekat komen bekas kickboxer, Andrew Tate yang bersifat misoginis terhadap wanita, rakaman individu mencuri kereta Kia dan Hyundai serta kandungan menggalakkan kanak-kanak mencederakan diri sendiri termasuk sesak nafas,” jelas laporan itu.
Menurut laporan, kejadian seperti itu berlaku walaupun syarikat media sosial itu mempunyai garis panduan ketat termasuk peraturan melarang aksi berbahaya, cabaran, tingkah laku penuh kebencian dan tindakan membunuh diri atau mencederakan diri.
Namun, tidak lama lagi gergasi media sosial itu boleh dipertanggungjawabkan di Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan menyiarkan kandungan berbahaya di aplikasi berkenaan.
Ia boleh dikenakan di bawah Akta Membanteras Tindakan Berbahaya dengan Ketelusan Sosial.
Rang undang-undang itu berusaha memerangi aksi bahaya dilakukan oleh kanak-kanak dan meningkatkan ketelusan mengenai aplikasi yang digunakan untuk aktiviti jenayah.
Di bawah rang undang-undang itu, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman boleh mengumpul dan melaporkan data mengenai jenayah melibatkan media sosial.
Ahli perwakilan Demokrat dan peguam, Josh Gottheimer yang memperkenalkan rang undang-undang tersebut.
TikTok bukan satu-satunya aplikasi yang berusaha memerangi kandungan berbahaya di platformnya.
Malah, Facebook, Instagram dan Twitter juga menerima kritikan hebat sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana gagal menyekat kandungan berbahaya secara berkesan.