Singapura bakal 'halalkan' hubungan seks sejenis

Singapura bakal ‘halalkan’ hubungan seks sejenis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Republik ini semakin berani dalam memperjuangkan nasib golongan songsang apabila memutuskan untuk memansuhkan undang-undang jenayah seks antara lelaki.

Perkara itu terbukti apabila kerajaan Singapura mengumumkan untuk memansuhkan Seksyen 377A kanun keseksaan, sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata, kerajaan juga akan meminda Perlembagaan untuk melindungi takrifan undang-undang perkahwinan di negara ini iaitu antara lelaki dan wanita daripada dicabar di mahkamah.

LEE HSIEN LOONG

Kata beliau, kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah takrifan undang-undang perkahwinan atau dasar negara mengenai perumahan awam, pendidikan, peraturan pengambilan anak angkat, piawaian pengiklanan dan klasifikasi filem.

Ia sekaligus menandakan Singapura akan mengekalkan ‘norma dan nilai’ yang biasa diamalkan dalam kalangan masyarakat negara itu.

Pengumuman itu dibuat 15 tahun selepas kali terakhir Parlimen membahaskan Seksyen 377A pada 2007, apabila memutuskan undang-undang tersebut akan kekal namun tidak dikuatkuasakan secara aktif.

Hsien Loong berkata, sikap masyarakat negara ini ‘berubah dengan ketara’ sejak itu apabila mereka semakin menerima golongan gay.

“Walaupun kita kekal sebagai masyarakat konservatif secara meluas, golongan gay kini lebih diterima di Singapura terutamanya dalam kalangan anak muda negara ini,” katanya ketika berucap pada perhimpunan tahunan sempena Hari Kebangsaan Singapura.

Februari lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan baharu untuk mencabar Seksyen 377A.

Malah, mahkamah juga menegaskan semula supaya undang-undang itu tidak boleh dikuatkuasakan secara keseluruhannya dan tidak menimbulkan ancaman pendakwaan.

Berikutan keputusan itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang, K. Shanmugam pada Mac lalu memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan `jalan terbaik untuk melangkah ke hadapan’ berkaitan Seksyen 377A, sambil menghormati pandangan berbeza dalam isu tersebut.

Shanmugam pada Julai lalu berkata, kerajaan sedang menimbang cara untuk melindungi kedudukan undang-undang semasa mengenai perkahwinan daripada dicabar di mahkamah sementara mempertimbangkan langkah seterusnya untuk Seksyen 377A.

Jelas beliau, kerajaan juga sudah mengadakan perbincangan dengan kumpulan agama, pemimpin akar umbi, rakyat Singapura dari latar belakang berbeza dan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

BIMBANG KESAN PEMANSUHAN

Sementara itu, Hsien Loong berkata, kebanyakan rakyat Singapura tidak mahu langkah pemansuhan itu mencetuskan ‘perubahan drastik’ dalam norma masyarakat negara ini secara menyeluruh.

“Hal itu termasuk isu-isu seperti bagaimana perkahwinan ditakrifkan, apa diajar di sekolah dan apa ditayangkan di televisyen dan pawagam,” katanya.

Hsien Loong juga tidak menolak pelbagai isu sensitif akan muncul dari semasa ke semasa dan menegaskan masyarakat di republik ini perlu menanganinya dengan cara memelihara keharmonian serta kaum.

“Hanya demikian, setiap kumpulan akan mempunyai ruang untuk mengekalkan amalan keagamaan dan budaya masing-masing,” ujarnya.

Pemimpin itu turut menyamakan isu membenarkan jururawat di hospital awam memakai tudung dengan memansuhkan Seksyen 377A.

“377A juga merupakan hal yang perlu ditangani dengan teliti dan yang penting, kerajaan sesekali tidak akan mengubah dasar-dasar berhubung keluarga dan perkahwinan.

“Kerajaan akan terus mengekalkan norma dan nilai sosial sedia ada dalam masyarakat Singapura,” tegasnya sambil mengakui 377A merupakan isu yang amat sensitif dan boleh menimbulkan perbalahan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya