Salman Rushdie masih hidup, berisiko hilang mata

Salman Rushdie masih hidup, berisiko hilang mata

SALMAN RUSHDIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Penulis kontroversi, Salman Rushdie dilaporkan sudah boleh bercakap namun saraf di sebelah lengannya sudah putus, mengalami kerosakan pada hati dan berkemungkinan kehilangan bahagian mata. 

Selepas menjalani pembedahan selama beberapa jam, Salman, 75, kini tidak lagi bergantung kepada mesin ventilator selepas ditikam ketika berada di atas pentas di Institut Chautauqua, barat New York.

Salman mengalami kecederaan di bahagian leher dan badan akibat tikaman itu, dan dikejarkan ke hospital dengan helikopter sejurus serangan yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi (waktu tempatan).

Susulan itu, Hadi Matar, 24, dari New Jersey didakwa atas tuduhan cubaan membunuh selepas disyaki bertanggungjawab menyerang mangsa.   

Peguam Daerah Chautauqua, Jason Schmid berkata, suspek ditahan tanpa sebarang ikat jamin ditawarkan. 

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah Jumaat lalu, atas pertuduhan cubaan serangan dan membunuh pada tahap dua. 

“Bagaimanapun, Matar yang memakai jumpsuit hitam putih dan bertopeng muka putih serta tangannya digari membuat pengakuan tidak bersalah semasa hadir ke mahkamah, Sabtu lalu,” lapor Al Jazeera.

Sementara itu, Datuk Bandar Yaroun, Selatan Lubnan, Ali Tehfe berkata, Matar dilahirkan di Amerika Syarikat oleh ibu bapa warga Lubnan yang berhijrah dari sebuah kampung di sempadan negara itu, Yaroun. 

Sebelum ini, Salman yang dilahirkan di Mumbai sebelum berhijrah ke United Kingdom (UK), pernah menerima ancaman bunuh berhubung penerbitan novel keempat berjudul The Satanic Verses yang mengandungi petikan menghina agama Islam.  

Dia turut menerima ancaman sejak akhir 1980-an apabila Pemimpin Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini mengeluarkan fatwa hukum bunuh terhadapnya susulan penerbitan bukunya berunsur menghina agama Islam.

Dalam perkembangan lain, pelbagai reaksi diterima susulan serangan terhadap Salman dan fatwa hukum bunuh yang dikeluarkan oleh Ayatollah.  

Reza Amiri, 27, berkata, dia gembira mendengar berita serangan terhadap Salman dan itu adalah nasib yang terima bagi sesiapa yang menghina kesucian Islam.

Seorang penduduk Tehran, Mohammad Mahdi Movaghar, 34, berkata, dia juga gembira selepas melihat Salman diserang kerana selain azab di akhirat, individu yang menghina Islam juga mendapat azab di dunia. 

Bagaimanapun, seorang guru, Mahshid Barati, 39, melahirkan kebimbangan mengenai serangan tersebut akan menjadikan Iran lebih terasing daripada dunia berhubung perjanjian nuklear yang dimeterai dengan beberapa negara lain.

Sementara itu, beberapa akhbar Iran memuji tindakan serangan ke atas Salman seperti akhbar Kayhan pada tajuk beritanya menulis: 

Seribu keberanian…kepada orang yang berani berbakti menyerang Salman yang murtad dan jahat di New York. Tangan orang yang mengoyakkan leher musuh Allah mesti dicium,” tulisnya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya