Puluhan ulama ditahan kritik reformasi, Riyadh 'halalkan' hedonisme?

Puluhan ulama ditahan kritik reformasi, Riyadh ‘halalkan’ hedonisme?

PUTERA Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Tindakan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman menahan berpuluh-puluh ulama dan imam terkemuka yang mengkritik agenda pembaharuan dan usaha reformasi rakyat negara itu mencetuskan persoalan besar.

Dengan lambakan konsert hiburan melibatkan artis antarabangsa seperti kumpulan muzik wanita popular Korea Selatan, Blackpink dan Justin Bieber, Riyadh dilihat semakin rancak ‘menghalalkan’ hedonisme.

Terkini, Mahkamah Rayuan Jenayah Khas di Riyadh mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas Imam Masjidilharam, Sheikh Saleh Mohammed al-Talib.

Beliau dilahirkan di Riyadh pada 1974 serta pernah dilantik sebagai imam dan khatib di Masjidilharam pada 2003, dan kali terakhir bertugas sebagai imam pada 13 Julai 2018.

Penangkapan Sheikh Saleh bukan lagi hal ‘luar biasa’ di Arab Saudi kerana sejak 2017, sudah puluhan imam ditangkap atas pelbagai pertuduhan.

Antara ulama lain yang pernah ditahan ialah Salman al-Odah yang menyeru rakyat Arab Saudi mendamaikan perbezaan dengan Qatar selepas Riyadh mengetuai sekatan ke atas negara teluk itu.

Sebahagian aktivis beranggapan ulama yang ditangkap rata-ratanya mempunyai kaitan dengan ‘kebangkitan Islam’ yang berakar umbi antara 1960 hingga 1980-an.

Pihak polis pula menuduh golongan cendekiawan ini cuba mengadaptasi kehidupan beragama yang ketat dalam masyarakat sehingga mereka dikaitkan dengan kelompok militan dan ekstremisme.

Meskipun demikian, pejuang hak asasi manusia (HAM) menegaskan tahanan tidak diberikan hak untuk dihakimi secara adil atau dibawa ke muka pengadilan.

Kumpulan advokasi media sosial, Prisoners of Conscience menyatakan tangkapan terhadap Sheikh Saleh dibuat berhubung kait dengan isi khutbah yang disampaikan oleh pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang Antarabangsa dari Washington, Amerika Syarikat (AS) tersebut.

Middle East Monitor melaporkan, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Mekah itu ditangkap selepas menyampaikan khutbah tentang kewajipan dalam Islam untuk menentang kejahatan di depan umum.

Sheikh Saleh ditahan sejak 2018 selepas mengkritik Pihak Berkuasa Hiburan Umum iaitu badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia industri hiburan di Arab Saudi.

Kandungan khutbah itu mengecam konsert dan acara keramaian yang menyimpang daripada ajaran agama dan norma budaya Arab Saudi.

Kumpulan Hak Asasi berpangkalan di AS, Democracy for The Arab World Now (Dawn) mendedahkan, beliau ditahan tanpa sebarang alasan selepas menyampaikan khutbah tersebut, empat tahun lalu.

Hukuman penjara ke atas Sheikh Saleh disahkan Dawn, kumpulan yang diasaskan wartawan, Jamal Khashoggi yang mati dibunuh, melalui ciapan Twitter.

Jurucakap Dawn, Abdullah Alaoudh mengecam hukuman penjara lantaran keberanian beliau bersuara menentang pembaharuan yang dilakukan di Arab Saudi.

“Mereka ditangkap hanya kerana menyatakan pendapat secara aman. Penindasan ini perlu dihentikan terhadap semua orang tanpa pengecualian,” katanya.

ISU HAK ASASI

Mohammed Salman juga terpalit dengan isu pembunuhan kolumnis The Washington Post, Khashoggi, pada 2018.

Perisikan AS mendedahkan beliau meluluskan operasi menangkap atau membunuh Jamal kerana beliau disifatkan begitu lantang mengkritik pemimpin sendiri.

Jamal dibunuh dan mayatnya dipercayai dikerat kepada beberapa bahagian oleh ejen Riyadh di dalam Konsulat Kerajaan Arab Saudi di Istanbul, empat tahun lalu.

MESRA ISRAEL

Riyadh dilihat semakin ‘mesra’ dengan Israel selepas menarik balik sekatan terhadap semua ‘pesawat’ yang menggunakan ruang udaranya sekali gus menunjukkan sikap keterbukaan yang jelas terhadap negara haram itu.

Perkembangan terkini itu juga dibuat sempena kunjungan Presiden AS, Joe Biden yang melakukan penerbangan terus dari Israel ke Arab Saudi.

Perkembangan itu sekali gus mencetuskan spekulasi sama ada Riyadh akan mengubah pendirian untuk tidak mewujudkan hubungan dua hala secara rasmi sehingga konflik Palestin diselesaikan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya