Gay Singapura gesa kahwin sejenis dibenarkan

Gay Singapura gesa kahwin sejenis dibenarkan

KOMUNITI LGBT menyalakan lilin semasa berkumpul di taman Hong Lim, Singapura, 2016. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Beberapa dekad lalu, hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) masih menjadi topik tabu di Singapura. 

Sebelum ini, isu LGBT menjadi kawalan ketat di republik ini dengan pihak polis akan menyerbu kelab dan sebarang perhimpunan melibatkan golongan gay tidak dibenarkan.  

Sehingga kini, rancangan televisyen dan filem yang dianggap ‘mempromosikan homoseksualiti’ juga boleh diharamkan. 

Namun begitu, situasi sudah mula berubah secara beransur-ansur. Golongan LGBT makin berani menyerlahkan identiti mereka dan kian lantang bersuara. 

Sudah diberi betis hendakkan paha.Itu perumpaan buat golongan gay di republik ini yang mahu pihak kerajaan mengambil tindakan seterusnya untuk mengubah dasar bagi membenarkan perkahwinan sesama jenis. 

Bagi mereka, keputusan kerajaan Singapura memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki, belum mencukupi.   

Keputusan itu menyebabkan muncul barisan hadapan baharu yang menuntut lebih banyak hak bagi LGBT. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong menegaskan akan ‘melindungi’ definisi perkahwinan yang merujuk antara lelaki dan wanita serta menolak kemungkinan berlaku perkahwinan sesama jantina. 

Pegawai memberitahu media tempatan, Perlembagaan akan dipinda supaya Parlimen sahaja mempunyai kuasa mutlak untuk mentakrifkan semula perkahwinan. 

Ini bermakna, sebarang keputusan ‘menghalalkan’ perkahwinan lelaki dengan lelaki terletak di tangan kerajaan dan bukan mahkamah. 

Lee dalam ucapannya menjelaskan perkahwinan gay pada asasnya adalah isu politik, bukan polemik undang-undang. 

Pakar Undang-Undang Perlembagaan Singapura, Suang Wijaya berkata, keputusan itu akan menutup ruang untuk mengiktiraf perkahwinan songsang kerana ia lebih sukar dicabar Perlembagaan. 

Katanya, di sesetengah negara seperti Amerika Syarikat, perkahwinan gay menjadi kenyataan melalui keputusan mahkamah yang penting.

“Antara sebabnya adalah kerajaan perlu mencapai keseimbangan antara kepentingan yang diperjuangkan. 

“Kerajaan mahu dilihat menyumbangkan sesuatu kepada komuniti LGBT, tetapi dalam masa sama menghormati golongan konservatif. 

“Kerajaan tidak mahu ia menjadi situasi ‘saya menang dan anda kalah’ kerana hanya akan mengakibatkan perpecahan,” jelasnya. 

TUNTUT LEBIH KEISTIMEWAAN 

Pengumuman kerajaan Singapura mencetuskan kritikan daripada kumpulan yang menyokong dan membantah pemansuhan akta tersebut. 

Komuniti LGBT berasa kecewa dan masyarakat konservatif lain merasakan pindaan itu tidak mencukupi. 

Tinjauan terkini menunjukkan terdapat penentangan ketara terhadap perkahwinan sesama jenis dan satu kajian mendapati hampir separuh daripada penduduk Singapura mengatakan ia adalah ‘salah’. 

Perkahwinan gay kekal sebagai matlamat utama bagi sesetengah pihak kerana banyak dasar Singapura memberi keistimewaan kepada institusi kekeluargaan. 

Contohnya seperti rakyat Singapura yang tinggal di perumahan awam.

Kerajaan hanya membenarkan rakyat membeli flat baharu pada kadar diskaun yang sangat tinggi dengan syarat merupakan pasangan suami isteri atau berusia lebih 35 tahun jika masih bujang.

Tanpa pengiktirafan undang-undang ke atas komuniti LGBT, pasangan sejenis diketepikan daripada pilihan ini dan akan berada pada kedudukan yang kurang menguntungkan dalam aspek kehidupan di Singapura. 

INSTITUSI KELUARGA DIPERTAHANKAN

Dalam perkembangan sama, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli memberi jaminan dasar-dasar yang mempertahankan kepentingan institusi keluarga akan diberikan keutamaan dan dikekalkan. 

Jelasnya, masyarakat Singapura khususnya Melayu Islam teguh mempertahankan institusi keluarga tradisional serta undang-undang berkaitan perkahwinan. 

Beliau memberitahu perubahan situasi sosial dalam masyarakat dan pemansuhan Seksyen 377A tidak sama sekali mengubah dasar-dasar sedia ada. 

“Masyarakat juga sangat khuatir dengan pemansuhan Seksyen 377A. Ia boleh memberikan isyarat seolah-olah pemerintah sudah membenarkan perkahwinan antara lelaki dan antara dua perempuan atau sebagainya.

“Sebab itu, kerajaan memberikan isyarat semua undang-undang serta dasar kekeluargaan dan perkahwinan bukan hanya dikekalkan, tetapi akan diperkukuhkan dalam Perlembagaan. 

“Sebagai umat Islam kita perlu berusaha mengukuhkan institusi perkahwinan, mendidik anak-anak kita supaya membesar dengan pandangan Islam serta menjaga ahli keluarga supaya terus berpegang pada nilai moral yang diajar oleh agama kita,” jelasnya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya