LUMUT: Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), merupakan pendirian yang diambil kepimpinan parti itu di peringkat negeri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, soal sama ada keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Pakatan Harapan (PH) adalah perkara berbeza, sebaliknya pendirian BN Johor ketika ini adalah untuk bertanding secara solo.
“Bagi saya, soal dimaklumkan atau tidak itu cerita lain. Soalnya, BN Johor berpendapat mereka mahu bertanding solo, itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perkara itu masih boleh dibincangkan, beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan pada masa sesuai.
“Tunggu masa untuk duduk berbincanglah,” katanya.
Sabtu lalu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan parti itu akan bergerak secara solo dan tidak mengadakan kerjasama politik dengan PH dalam PRN akan datang.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.
Pada PRN Johor 2022, BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional pula memenangi tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala Pas, satu.
Sementara itu Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga menang satu kerusi pada pilihan raya berkenaan. – UTUSAN










