Daratan Pakistan 'hilang' ditenggelami banjir

Daratan Pakistan ‘hilang’ ditenggelami banjir

PENDUDUK melihat jalan raya yang berlubang akibat banjir di Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Satu per tiga Pakistan dilaporkan ditenggelami banjir sepenuhnya, menyebabkan negara ini lumpuh dan jutaan rakyat terjejas teruk.

Banjir yang diakibatkan oleh hujan lebat sejak Jun lalu mengakibatkan banyak kediaman, bangunan dan kawasan pertanian musnah, menyebabkan penduduk tinggal ‘sehelai sepinggang’ dan kelaparan.

“Keadaan di semua tempat ketika ini seperti lautan yang luas, seperti tiada daratan untuk kami.

“Kami tidak tahu berapa lama lagi keadaan ini akan berterusan,” kata Menteri Perubahan Iklim Pakistan, Sherry Rehman.

Sekurang-kurangnya 1.136 orang maut akibat bencana yang berlaku sejak Jun lalu dan angka itu dijangka bertambah sebaik sahaja operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Hujan yang melanda Pakistan ketika ini disifatkan paling luar biasa dalam sejarah negara itu dan Islamabad menyalahkan perubahan iklim sebagai punca.

“Boleh dikatakan sebanyak satu per tiga kawasan di seluruh negara sudah ditenggelami banjir ketika ini yang secara jelasnya amat dahsyat berbanding bencana sebelum ini.

“Kami tidak pernah menyaksikan keadaan yang begitu teruk seperti ini,” ujarnya.

Dalam tempoh 24 jam, sebanyak 74 orang dilaporkan maut akibat bencana itu, sekali gus dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat.

Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto-Zardari pula menyatakan, satu per tiga penduduk yang terkorban merupakan golongan kanak-kanak.

Katanya, pihak berkuasa masih meneliti kos kerosakan yang berlaku untuk proses pemulihan.

Dalam pada itu, ribuan penduduk yang tinggal di kawasan pergunungan diarahkan berpindah, namun langkah itu hanya boleh dilakukan menerusi penggunaan helikopter.

“Kampung demi kampung dihanyutkan arus banjir, menyaksikan jutaan rumah musnah sepenuhnya,” menurut Perdana Menteri Shehbaz Sharif.

Penduduk yang berjaya diselamatkan pula terpaksa berhimpit-himpit dalam khemah perlindungan berikutan bekalan yang terhad.

Antara kawasan yang terjejas teruk termasuk wilayah Sindh, Balochistan dan Khyber Pakhtunkhwa.

Sementara itu, hampir separuh daripada hasil tanaman kapas Pakistan rosak akibat banjir, selain tanaman makanan asas seperti sayuran dan padi turut terjejas.

Keadaan itu menyebabkan negara ini berdepan kerugian besar, selain perlu menanggungg kos kerosakan yang diakibatkan oleh banjir.

Lebih memilukan, keadaan itu akan menyebabkan jutaan penduduk berdepan kebuluran sekiranya bekalan makanan tidak disalurkan segera. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN