Musim rumah terbuka memang antara momen yang paling ditunggu-tunggu. Selain dapat menikmati pelbagai hidangan yang sedap, inilah masa terbaik untuk berjumpa rakan lama, kenalan kerja, jiran tetangga dan saudara-mara.
Suasana santai, gelak tawa dan cerita lama yang dikongsi semula menjadikan rumah terbuka satu tradisi yang sangat bermakna. Namun dalam keseronokan itu, jangan lupa tentang adab ketika bertandang ke rumah orang.
Pertama sekali, ingat kita datang sebagai tetamu. Jadi hormatilah tuan rumah yang sudah bersusah payah menyediakan makanan, tempat dan masa untuk menerima kehadiran kita.
Tak perlu ‘komen’ tentang makanan atau membandingkan dengan rumah terbuka lain. Cukup sekadar menikmati apa yang ada dan ucapkan terima kasih. Kadang-kadang satu ayat penghargaan yang ringkas pun sudah cukup menggembirakan hati tuan rumah.
Bagi ibu bapa pula, sebelum keluar rumah elok juga berpesan kepada anak-anak. Ingatkan mereka supaya tidak buat perangai di rumah orang. Jangan berlari-lari, menjerit atau menyelongkar barang tanpa izin.
Anak-anak memang aktif, tetapi mereka juga perlu diajar apabila kita berada di rumah orang, kita perlu lebih beradab. Didikan kecil seperti ini sebenarnya sangat penting supaya mereka membesar dengan memahami batas dan menghormati orang lain.
Satu lagi perkara yang selalu berlaku di majlis seperti ini ialah soalan-soalan sensitif.
Kadang-kadang niat hanya mahu berbual, tetapi soalan yang keluar boleh membuatkan orang lain rasa tidak selesa. Contohnya bertanya tentang gaji, bila nak kahwin, kenapa belum ada anak atau hal-hal peribadi yang mungkin tidak semua orang selesa berkongsi.
Rumah terbuka sepatutnya jadi tempat berkongsi kegembiraan, bukan tempat membuat orang lain serba salah. Jadi pilihlah topik perbualan yang ringan dan menyenangkan.
Yang paling penting, hargai momen berkumpul bersama rakan-rakan. Dalam kehidupan yang sibuk sekarang, bukan selalu kita ada peluang untuk duduk semeja, berbual santai dan ketawa bersama.
Gunakan kesempatan ini untuk bertanya khabar, berkongsi cerita dan mengeratkan kembali hubungan yang mungkin sudah lama tidak bertemu.
Rumah terbuka bukan sekadar tentang makanan atau kemeriahan majlis. Ia tentang hubungan, persahabatan dan rasa hormat antara satu sama lain. Kalau semua orang datang dengan adab yang baik, suasana rumah terbuka pasti jadi lebih meriah, selesa dan penuh kenangan indah.
Adlinahani Khalil adalah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










