SHANGHAI: Jangkitan Covid-19 menyaksikan bandar pelabuhan Tianjin di utara China terpaksa menutup banyak premis perniagaan, tadika dan pusat tuisyen bagi mengawal penularan.
Tianjin yang mempunyai lebih 12 juta penduduk danempatkan sejumlah kilang pengeluaran untuk Boeing dan Volkswagen merekodkan sebanyak 11 jangkitan tempatan sejak Isnin lalu.
Namun, pelabuhan Tianjin masih beroperasi seperti biasa.
Kes jangkitan di Tianjin tidak setinggi di bandar utama yang lain, namun pendekatan kerajaan yang mengamalkan polisi sifar Covid-19 menyebabkan operasi di bandar itu turut terkesan.
Pihak berkuasa Tianjin memaklumkan, beberapa tempat riadah tertutup diarahkan ditutup tanpa memaklumkan bilakah premis berkenaan akan dibuka semula.
Firma analisis Nomura memberitahu, dianggarkan 264.1 juta penduduk di 41 bandar di seluruh China terjejas akibat perintah berkurung penuh atau separa.
Jumlah itu meningkat dari 247.5 juta di 31 bandar pada minggu lalu.
Termasuk dengan kes di Tianjin, tanah besar China merekodkan sebanyak 699 kes jangkitan baharu dengan 199 mempunyai gejala, manakala 500 lagi tidak mempunyai tanda.
Kebanyakan kes jangkitan semalam dikesan di wilayah Gansu dan Guangxi. – REUTERS