JAKARTA: Projek pembangunan ibu negara baharu, Nusantara yang disasarkan siap pada 2024 menimbulkan persoalan besar sama ada Indonesia mampu merealisasikannya atau sebaliknya.
Beberapa penganalisis yang ditemu bual oleh Channel News Asia kurang yakin dengan garis masa selama dua tahun bagi pembinaan projek yang menelan belanja AS$31 bilion (RM138 bilion) itu.
Pengarah Eksekutif Pusat Pengajian Ekonomi dan Undang-Undang di Jakarta, Bhima Yudhistira berkata, projek itu akan menjadi sebuah perjuangan yang sukar dari sekarang hingga 2024, walaupun hanya melibatkan pemindahan beberapa kementerian dan Istana Negara.
“Sebabnya, persiapan sangat ketat dan kini masih dalam peringkat perolehan.
“Bajet juga mungkin tidak tersedia memandangkan situasi global apabila beberapa negara mungkin menuju ke arah kemelesetan ekonomi,” katanya.
Bhima juga meragui keupayaan Nusantara menarik minat pelabur yang berminat dalam proses pembangunan ibu negara itu.
Turut senada, Pensyarah dari Universiti Teknologi Nanyang, Prof. Madya Sulfikar Amir yang percaya projek tersebut akan menjadi konflik politik.
“Semuanya bergantung kepada siapa yang akan memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum 2024.
“Saya sedikit skeptikal kerana mustahil sambutan Hari Kemerdekaan dapat dilaksanakan kerana bangunan juga belum siap dibina,” katanya.
Buat masa ini, Titik Sifar adalah satu-satunya mercu tanda di Nusantara, Kalimantan Timur yang memberikan petunjuk lokasi dan keluasan ibu kota baharu itu.
Walaupun pembangunan ibu kota baharu belum berjalan lancar, pelancong sudah mula berpusu-pusu ke Titik Sifar yang dibuka kepada orang ramai pada hujung minggu dan cuti umum.
Sebahagian besar bandar masa hadapan itu masih merupakan hutan yang digunakan bagi tujuan komersial, dengan pokok seperti kayu putih dan akasia ditanam.
Kurang dari lima kilometer dari Titik Sifar, beberapa jengkaut mengosongkan tanah bagi pembinan projek pejabat Kementerian Tenaga Kerja dan Perumahan.
Sebelum ini, pihak berkuasa berkata, pembinaan ibu negara baharu seluas 56,000 hektar akan bermula awal Ogos depan.
Mengikut perancangan, Indonesia akan menyambut Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos 2024 di Istana Presiden baharu di Nusantara.