Polisi sempadan terbuka Biden punca ramai pendatang maut?

Polisi sempadan terbuka Biden punca ramai pendatang maut?

ANGGOTA penguatkuasa menyiasat treler yang mengorbankan pendatang yang dipercayai pekerja dari Mexico di San Antonio.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Cuaca gelap menyelubungi langit malam dengan kehadiran beberapa kenderaan penguatkuasa undang-undang di pinggir San Antonio.

Beberapa pita kuning dipasang mengepung kawasan gelap gelita tanpa lampu jalan yang menyaksikan 46 pendatang haram ditemukan maut dalam sebuah treler terbiar.

Kesemua mangsa berkemungkinan meninggal dunia akibat keletihan haba dan dehidrasi.

Ketua Bomba San Antonio, Charles Hood berkata, seramai 16 mangsa termasuk empat kanak-kanak lain dikejarkan ke hospital.

Difahamkan, mereka yang terselamat masih dalam keadaan ‘panas apabila disentuh’ dan mengalami strok haba akibat keletihan.

Katanya, anggota kecemasan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan) selepas menerima laporan mengenai kematian.

“Lori itu tidak mempunyai pendingin hawa yang berfungsi dan tiada air di dalamnya.

“Kita menemui mayat di luar dan di dalam selepas pintu treler dibuka,” katanya.

San Antonio terletak 250 kilometer dari sempadan Amerika Syarikat-Mexico merupakan laluan transit utama bagi jenayah penyeludupan manusia.

Isnin lalu, cuaca panas San Antonio merekodkan suhu 39.4 darjah Celcius.

Menurut saluran TV KSAT, kenderaan itu ditemukan bersebelahan landasan kereta api di Southwest Side San Antonio.

Sebilangan besar anggota kecemasan termasuk polis, bomba dan perkhidmatan ambulans dilihat mengelilingi trak besar itu.

Ketua Polis San Antonio, William McManus berkata, siasatan kini diserahkan kepada ejen Persekutuan dan tiga individu sudah ditahan.

Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard berkata, dua rakyat Guatemala antara mangsa yang dibawa ke hospital.

Katanya, identiti dan kewarganegaraan mangsa lain belum diketahui.

Konsulat Jeneral Mexico, Ruben Minutti bergegas ke lokasi kejadian dan Konsulat di San Antonio akan memberikan ‘segala sokongan’ sekiranya mangsa yang maut adalah rakyat Mexico.

GADAI NYAWA

Gabenor Republikan Texas, Greg Abbott menuding jari kepada Presiden Joe Biden atas kematian tersebut kerana penemuan mayat adalah ‘hasil daripada dasar sempadan terbuka yang membawa kematian’.

Calon Demokrat, Beto O’Rourke pula menggesa tindakan segera ‘membubarkan kumpulan penyeludupan manusia dan menggantikan dengan jalan yang mengikut undang-undang’.

Kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menjadi perbalahan politik di Amerika Syarikat (AS) dengan 239,000 ditahan semasa meloloskan diri ke negara itu dari Mexico, Mei lalu.

Kebanyakan PATI melalui laluan sangat berisiko dan tidak selamat.

Pegawai Penguat Kuasa Undang-Undang AS merekodkan sebanyak 1.73 juta tangkapan di kawasan sempadan tahun lalu.

Sejumlah besar PATI didapati menyeberang dari negara Amerika Tengah seperti Honduras, Guatemala dan El Savador.

Ramai PATI sanggup membayar sejumlah besar wang tunai kepada kartel penyeludup manusia untuk membawa mereka melintasi sempadan kerana ingin melarikan diri daripada belenggu kemiskinan dan keganasan di Amerika Tengah.

Pada 2017, seramai 10 PATI ditemukan maut dalam treler sama di Walmart yang terletak di selatan bandar itu.

Kehadiran lori besar di bandar San Antonio jarang disedari penduduk di kawasan kejiranan luar bandar yang sedang membangun.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya