JAKARTA: Indonesia sudah mengeluarkan permit eksport bagi 179, 464 tan minyak kelapa sawit setakat hari ini.
Lapor Reuters, Pegawai Kanan Kementerian Perdagangan, Oke Nurwan berkata, perkembangan itu susulan larangan terhadap penghantaran produk itu ditarik balik, minggu lalu.
Jelasnya, pihak kerajaan sudah mengeluarkan 160 permit eksport kepada 18 syarikat untuk penghantaran minyak kelapa sawit.
Meskipun eksport disambung semula, kerajaan menetapkan peraturan penjualan domestik wajib bagi para pengeluar dengan permit eksport hanya akan diberikan sekiranya mereka sudah menjual sebahagian daripada produk masing-masing kepada pasaran tempatan.
Kerajaan dijangka memperuntukkan sejuta tan eksport minya kelapa sawit berdasarkan penjualan domestik yang dilakukan tatkala eksport digantung.
Setakat ini, permit sudah dikeluarkan bagi 87,109 minyak kelapa sawit yang ditapis, dilunturkan dan dihilangkan bau.
Sebelum ini, Indonesia menguatkuasakan larangan esksport selama tiga minggu sejak 28 April lalu bagi mengawal kenaikan harga minyak masak yang dihasilkan daripada minyak kelapa sawit.










