ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menetapkan Isnin, 23 Mac ini sebagai Hari Kelepasan Am tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu selaras dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan berhubung cuti tambahan Aidilfitri.
“Jika Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat (20 Mac) atau Sabtu (21 Mac), maka hari Isnin tetap diisytiharkan sebagai cuti tambahan di Kedah.
“Kita buat keputusan untuk ikut seperti diumumkan Kerajaan Persekutuan, tanpa mengira tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat atau Sabtu, hari Isnin tetap cuti,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco, hari ini.
Menurutnya, penetapan itu dibuat berdasarkan Seksyen 9, Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Negeri Kedah Darul Aman.
Sebelum ini, Perdana Menteri telah mengumumkan cuti umum tambahan pada Isnin (23 Mac) jika Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat (20 Mac) atau cuti umum tambahan pada Jumaat (20 Mac) jika Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Sabtu (21 Mac). – UTUSAN










