TEHERAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas ditinggalkan selama beberapa jam oleh ibu bapanya bagi menghadiri acara pengebumian.
Kanak-kanak itu yang dikenal pasti sebagai Sadia berkunjung ke Ramhormoz di timur Iran ketika suhu mencecah 49 darjah Celsius.
Ibu bapanya dipercayai meninggalkan kanak-kanak itu buat sementara waktu di dalam kereta kerana tidak mahu mengejutkannya yang tidur lena.
Namun, media tempatan melaporkan, ibu bapanya ‘terlupa’ mengenai anak mereka kerana leka dengan acara pengebumian tersebut.
Pakar forensik, Dr. Gholamreza Haidarnejad memaklumkan Sadia meninggal dunia akibat strok haba dan sesak nafas.
Sehubungan itu, polis akan menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.