Turki tak sokong Finland, Sweden sertai NATO

Turki tak sokong Finland, Sweden sertai NATO

RECEP TAYYIP ERDOGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan beliau tidak akan menyokong rancangan Sweden dan Finland untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana negara tersebut menempatkan ‘banyak organisasi pengganas’. 

Walaupun Turki secara rasmi menyokong usaha pembesaran perikatan itu sejak Ankara menyertai NATO 70 tahun lalu, pihak pembangkang boleh menimbulkan masalah kepada Sweden dan Finland kerana ahli baharu memerlukan persetujuan sebulat suara. 

Recep Tayyip malah menjelaskan, NATO pernah membuat kesilapan apabila menerima Greece sebagai ahli anggota sebelum ini. 

“Turki tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama. Tambahan pula, negara Scandinavia menempatkan banyak organisasi pengganas.

“Mereka juga adalah ahli Parlimen di beberapa negara dan tidak mungkin kita berpihak. 

“Kami tidak berpandangan positif mengenai perkembangan Sweden dan Finland,” katanya. 

Recep Tayyip berulang kali menyelar Sweden dan negara Eropah Barat lain kerana mengendalikan organisasi pengganas termasuk kumpulan militan Kurdish PKK dan YPG serta pengikut Fethullah Gulen. 

Rancangan Finland untuk memohon keanggotaan NATO yang diumumkan Khamis lalu, yang bakal disusuli Sweden akan meluaskan lagi sekutu tentera barat bagi berdepan ancaman Russia. 

Sementara itu, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg mengalu-alukan kedatangan kedua-dua negara itu serta menjanjikan proses penyertaan yang ‘lancar dan pantas’. 

Washington juga turut menyokong penyertaan tersebut. 

NATO menyatakan keahlian terbuka kepada mana-mana negara Eropah dalam kedudukan untuk meneruskan prinsip perjanjian dan menyumbang kepada keselamatan kawasan Atlantik Utara.

Finland dan Sweden merupakan sekutu rapat NATO dan pernah menyertai pelbagai mesyuarat serta mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan tetap dengan sekutu NATO.-REUTERS   

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya