Selepas mogok lapar, tahanan Palestin kritikal - Utusan Malaysia

Selepas mogok lapar, tahanan Palestin kritikal

PENDUDUK Palestin di Gaza menyertai perhimpunan sebagai tanda solidariti terhadap tahanan Khalil Awawda. - THE PALESTINE CHRONICLE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Keadaan kesihatan seorang tahanan Palestin bernama Khalil Awawda dilaporkan semakin merosot selepas melepasi hari ke-70 mogok lapar pada minggu lalu.

Lapor Al Jazeera, Khalil, 40, melancarkan mogok lapar sebagai membantah penahanan berterusan di penjara Israel tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan ke atasnya. 

Khalil ditahan oleh tentera Israel dari rumahnya di kampung Ithna, selatan bandar Hebron di Tebing Barat pada Disember tahun lalu.

Bapa kepada empat orang anak itu ditahan sebagai tahanan pentadbiran, seperti 530 penduduk Palestin lain yang kini ditangkap dibawah perintah demikian.

Dasar penahanan pentadbiran membenarkan pihak berkuasa Israel menahan penduduk Palestin tanpa pertuduhan atau perbicaraan untuk selama-lamanya kononnya berdasarkan `maklumat rahsia’ tidak didedahkan kepada peguam tahanan.  

“Suami saya melakukan mogok lapar sebagai membantah penahanan pentadbiran yang dilihat membahayakan semua penduduk Palestin.

“Saya menyeru semua institusi berkaitan untuk campur tangan menyelamatkan nyawa Khalil sebelum sesuatu berlaku kepadanya,” kata isterinya, Dalal.

Menurut Dalal, suaminya kehilangan berat badan kira-kira 17 kilogram sejak melancarkan mogok lapar pada 3 Mac lalu.

Pada Rabu lalu, Perkhidmatan Penjara Israel memindahkan Khalil dari Penjara Ramle ke hospital Israel berikutan kemerosotan kesihatan serius.   

Sementara itu, peguam Khalil, Ahlam Haddad menerusi kenyataan memaklumkan anak guamnya mengalami `keletihan dan pernah rebah beberapa kali’ selain kesakitan teruk di seluruh bahagian badannya.

Katanya, Khalil kini hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda dan tidak boleh berdiri atau melihat dengan jelas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya