PBB gesa Russia benarkan eksport bijirin Ukraine

PBB gesa Russia benarkan eksport bijirin Ukraine

GUNI bijirin gandum di ladang kambing biri-biri di Montejaque.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Russia membenarkan eksport bijirin Ukraine kerana kedua-dua negara itu menghasilkan 30 peratus bekalan gandum global. 

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran krisis makanan global, kekurangan nutrisi dan kebuluran akan berlanjutan selama bertahun-tahun jika eksport tersebut tidak dibenarkan.  

Jelasnya, peperangan memberi ancaman dan menyebabkan jutaan orang berada di ambang bahaya keselamatan makanan. 

“Tiada penyelesaian berkesan bagi mengatasi krisis makanan tanpa mengintegrasikan semula pengeluaran makanan Ukraine. 

“Russia mesti membenarkan eksport bijirin yang selamat yang disimpan di pelabuhan Ukraine,” katanya ketika mesyuarat mengenai keselamatan makanan global PBB di New York. 

PBB mengeluarkan amaran itu ketika Bank Dunia mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak AS$12 bilion (RM53 bilion) bagi mengurangkan kesan buruk akibat krisis tersebut.  

Pembiayaan itu akan membantu meningkatkan penghasilan baja, memudahkan perdagangan lebih besar serta menyokong isi rumah dan negara pengeluar bijirin yang lemah. 

Pencerobohan Moscow terhadap Ukraine serta sekatan ekonomi antarabangsa ke atas Russia menyebabkan gangguan bekalan baja, gandum dan komoditi lain dari kedua-dua negara, memaksa kenaikan harga makanan dan bahan api terutamanya di negara membangun. 

Ketidakpastian makanan semakin meningkat akibat pemanasan global, pandemik Covid-19 dan pencerobohan Russia di Ukraine yang mengakibatkan kekurangan kritikal bijirin dan baja. 

Sebelum ini, Ukraine merupakan pembekal roti dunia yang mengeksport 4.5 juta tan hasil pertanian sebulan melalui pelabuhannya, dengan 12 peratus adalah keperluan gandum, 15 peratus jagung dan separuh daripada bekalan minyak bunga matahari global. 

Bagaimanapun, bekalan hanya boleh melalui jalan darat yang sesak dan kurang cekap selepas pelabuhan Odessa, Chornomorsk ditutup oleh kapal perang Russia.

Dalam tempoh dua tahun, jumlah penduduk dunia diancam krisis makanan meningkat dua kali ganda daripada 135 juta kepada 276 juta orang. 

Lebih setengah juta orang kini hidup kebuluran iaitu peningkatan lebih 500 peratus sejak 2016.-AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya