Kutu babi sebabkan kes demam berdarah melonjak di Iraq

Kutu babi sebabkan kes demam berdarah melonjak di Iraq

PETUGAS menyembur cecair pembasmi kuman terhadap haiwan ternakan yang digigit kutu babi di wilayah Dhi Qar, selatan Iraq. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASIRIYAH: Pihak berkuasa kesihatan Iraq ketika ini bertungkus-lumus membendung penularan virus Congo atau CCHF yang boleh menyebabkan demam berdarah sehingga kematian.

CCHF disebarkan oleh gigitan sengkenit atau kutu babi pada haiwan dan disebarkan kepada manusia menerusi sentuhan fizikal.

Virus ini boleh menyebabkan seseorang demam, sakit otot, pening, sakit kepala, sakit mata.

Pada tahun ini, Iraq merekodkan sebanyak 19 kes kematian daripada 111 kes CCHF melibatkan manusia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pegawai kesihatan di wilayah Dhi Qar, Haidar Hantouche berkata, kes CCHF semakin meningkat dari semasa ke semasa dan situasi itu membimbangkan.

Katanya, kawasan di selatan Iraq merekodkan paling banyak kes ketika ini.

“Sebelum ini, kes hanya boleh ‘dibilang dengan jari’, namun sekarang, peningkatan kes semakin membimbangkan.

“CCHF disebarkan menerusi kutu babi yang menjadi hos kepada virus tersebut.

“Kutu babi ini kemudiannya akan menggigit haiwan ternakan seperti kerbau, lembu dan kambing biri-biri yang menjadi sumber pendapatan penduduk di Dhi Qar,” katanya.

Bagi mengawal penularan, pasukan kesihatan akan melakukan proses nyahkuman dengan menyembut cecair pembasmi terhadap haiwan ternakan.

Menurut WHO, manusia boleh dijangkiti virus itu menerusi haiwan yang digigit kutu babi selepas proses penyembelihan.

Jangkitan dari manusia ke manusia boleh berlaku menerusi sentuhan rapat dengan darah, rembesan atau cecair badan individu yang dijangkiti.

Iraq pertama kali merekodkan virus itu sejak 43 tahun lalu iaitu pada 1979.

Di Dhi Qar, sebanyak 16 kes kematian akibat CCHF direkodkan pada tahun lalu dan kes meningkat pada tahun ini iaitu sebanyak 43 kes dan lapan kematian. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya