KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mengakui selesa meluangkan masa di aplikasi media sosial Threads untuk berinteraksi dengan pengguna, khususnya ketika mempunyai waktu terluang.
Menurut Siti, 47, dia gembira melihat keramahan warga Threads yang disifatkannya seperti sebuah kumpulan WhatsApp berskala besar, selain bertekad membantu peniaga dalam talian mempromosikan produk mereka.
“Saya tidaklah membalas komen setiap masa. Biasanya waktu yang benar-benar membuatkan saya rasa relaks ialah selepas anak-anak tidur. Itulah masanya saya dapat melihat hantaran di Threads.
“Namun, ada juga waktu tertentu apabila saya membuka aplikasi itu dan ternampak komen yang menarik, saya terus membalasnya. Kebanyakannya berkaitan makanan sehingga peminat pun terhibur melihat saya asyik bertanya mengenai makanan,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Wajah Kekasih itu, minatnya terhadap perkongsian makanan secara tidak langsung membuka ruang kepada peniaga untuk memperkenalkan produk masing-masing.
“Niat saya mahu membantu peniaga makanan. Sebenarnya ramai peniaga di luar sana yang pandai memasak dan menghasilkan makanan yang sangat sedap.
“Dalam masa saya mencari makanan, tidak sangka pula ia menjadi peluang rezeki untuk mereka. Alhamdulillah, itu satu perkara yang positif,” ujarnya.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu baharu anak saudaranya, Umairah bertajuk Hujung Indah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai penglibatannya di platform tersebut, Siti berkata dia sentiasa berhati-hati dalam memberikan pandangan dan hanya memilih untuk memberi respons terhadap perkara yang positif.
“Bagi saya, Threads ini ibarat ‘geng WhatsApp’ yang terbesar. Saya lebih suka menyentuh perkara yang menceriakan.
“Kalau kita rasa sesuatu perkara itu toksik, ia akan merebak seperti virus. Jadi tidak perlu dilayan. Kita fokus kepada perkara yang santai dan positif sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi peminat yang sukar mempercayai dia sendiri membalas komen di platform berkenaan, Siti menjelaskan perkara itu secara berseloroh.
“Ramai yang tidak percaya. Ada yang kata mungkin orang lain atau Kak Zie (pembantu) yang membalas. Kesian Kak Zie selalu terkena, padahal saya sendiri yang menulis.
“Mungkin ini masanya orang melihat sisi berbeza Siti Nurhaliza yang suka mengusik dan bergurau. Saya memang seorang yang santai, cuma sebelum ini orang lebih banyak melihat kerjaya saya sebagai penyanyi yang serius,” jelasnya. -UTUSAN










