PETALING JAYA: Sebanyak lapan parti mengadakan pakatan dengan Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin lalu.
Lapan parti itu adalah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, PRN Johor bakal menjadi medan pertama untuk menguji kerjasama antara PN dan parti-parti yang berada di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Kata beliau, ia juga bagi menilai tahap penerimaan pengundi pelbagai kaum terhadap gagasan PN Plus.
“Pelaksanaan ‘electoral pact (pakatan pilihan raya)’ bersama parti-parti bukan anggota dalam IPR adalah antara perkara yang belum teruji berikutan keputusan Majlis Tertinggi PN untuk meneroka kerjasama dengan parti-parti bukan anggota.
“Hasrat pembentukan IPR sebelum ini adalah untuk menyatukan parti-parti bukan kerajaan dan suara-suara protes terhadap kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, rundingan pembahagian kerusi PN Johor bagi menghadapi PRN hampir dimuktamadkan dengan kira-kira 80 peratus kerusi telah selesai.
Pengerusi PN Johor, Datuk Seri Dr. Sahruddin Jamal berkata, baki 20 peratus kerusi masih di dalam perbincangan.-UTUSAN










