Korea Utara tak percaya vaksin, rawat Covid-19 guna kaedah tradisional

Korea Utara tak percaya vaksin, rawat Covid-19 guna kaedah tradisional

KIM JONG UN mengarahkan tentera memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi di Pyongyang.-KCNA/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Korea Utara masih enggan menggunakan vaksin bagi mencegah Covid-19, sebaliknya menggunakan antibiotik dan ubat di rumah untuk merawat individu yang dijangkiti wabak itu. 

Negara itu malah menggunakan saluran media bagi melancarkan kempen maklumat awam untuk memerangi wabak yang mula meledak itu. 

Naib Menteri Kesihatan Awam, Kim Hyong Hun berkata, negara itu telah beralih daripada arahan kuarantin kepada sistem rawatan untuk mengendalikan ratusan ribu kes yang disyaki sebagai ‘demam’ yang dilaporkan setiap hari. 

Bagi merawat Covid-19, jelasnya, media kerajaan menggalakkan pesakit menggunakan ubat penahan sakit dan pengurang demam seperti ibuprofen dan amoksisilin serta antibiotik lain.

Walaupun ubat tersebut tidak berupaya melawan virus, namun, ia ditetapkan bagi jangkitan bakteria sekunder. 

Pihak media malah mengesyorkan orang ramai berkumur air garam atau minum teh lonicera japonica atau teh daun willow tiga kali sehari. 

Dalam pada itu, seorang wanita memberitahu rawatan tradisional bagi merawat Covid-19 adalah cara yang terbaik. 

“Anak saya hanya berkumur air garam setiap pagi dan malam,” katanya. 

Seorang warga emas di Pyongyang berkata, dia hanya mengambil teh halia dan memastikan biliknya mempunyai pengudaraan yang baik. 

“Pada mulanya, saya takut dengan Covid-19, tetapi selepas mengikut nasihat doktor dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya, ia bukan masalah besar,” kongsinya. 

Dalam perkembangan sama, Pyonyang mula menggerakkan pihak tentera untuk mengedarkan ubat Covid-19 serta mengerahkan lebih 10,000 petugas kesihatan bagi mengesan pesakit berisiko dijangkiti. 

Korea Utara mula dijangkiti virus Covid-19 buat pertama kali minggu lalu.-REUTERS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.