HAVANA: Sekurang-kurangnya 22 orang maut dan lebih 70 lagi cedera dalam satu kejadian letupan dipercayai akibat kebocoran gas di sebuah hotel lima bintang di ibu negara Cuba.
Pejabat Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel memaklumkan siasatan awal menunjukkan letupan di Hotel Saratoga di Old Havana berpunca daripada kebocoran gas.
“Bukan bom atau serangan. Ia merupakan satu tragedi yang tidak disangkakan,” katanya sebelum meninggalkan Hospital Calixto Garcia.
Selain itu, Menteri Pelancongan Cuba, Juan Carlos Garcia memaklumkan berdasarkan laporan awal, tiada warga asing terkorban atau cedera dalam insiden itu.
Wakil syarikat pengendali hotel, Roberto Enrique Calzadilla berkata, hotel di bangunan berusia beberapa abad itu tidak dibuka dan hanya pekerja yang berada di dalam bangunan ketika kejadian.
Dilaporkan, letupan itu turut menyebabkan runtuhan di bahagian tepi bangunan berkenaan.
Sementara itu, AFP melaporkan pasukan penyelamat menemukan empat mayat baharu dari runtuhan ketika mereka menyisir kawasan Hotel Saratoga untuk mencari mangsa yang terselamat.
Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya seorang wanita ditemukan dalam keadaan bernyawa di bawah serpihan runtuhan itu.
Tambahnya, mereka percaya lebih ramai lagi yang masih hidup, terperangkap di bawah runtuhan tersebut.
Angka kematian mangsa termasuk seorang kanak-kanak diumumkan di berita televisyen, sehari selepas ambulans membawa individu yang cedera ke hospital. – REUTERS/AFP










