JAKARTA: Tarekat Naqsabandiyah di Sumatera dan Syattariyah di Aceh sudah mula melaksanakan ibadah puasa Ramadan bermula hari ini.
Lapor CNN Indonesia, jemaah Naqsabandiyah sudah melaksanakan ibadah puasa berpandukan kiraan Hisab Qamariyah dalam Kitab Munjid.
Setiausaha Tarekat Naqsabandiyah Padang, Edizon Revindo berkata, perhitungan permulaan puasa dihitung lima hari selepas awal puasa tahun sebelumnya.
Jelasnya, ibadah puasa Ramadan tahun lalu bermula sejak Isnin dan tahun ini bermula pada Jumaat.
“Kita hitung lima hari selepas Ramadan tahun lalu yang bermula hari Isnin. Jadi, tahun ini, selepas lima hari ia bermula hari ini iaitu hari Jumaat,” katanya.
Selain Kota Padang, Edizon berkata, jemaah Naqsabandiyah di Kabupaten Solok, Solok Selatan, Pesisir Selatan dan Kota Solok sudah mula menjalani ibada puasa hari ini.
Beliau malah menjelaskan jemaah tarekat itu akan melaksanakan ibadah puasa penuh selama tiga puluh hari.
“Jika puasa bermula hari Jumaat, maka Hari Raya Aidilfitri akan disambut pada hari minggu.
“Kita tidak akan melaksanakan ibadah puasa kurang dari tiga puluh hari,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tarekat Syattariyah iaitu pengikut Habib Muda Seunagan di Kabupaten Nagan Raya, Aceh sudah mula berpuasa sejak semalam.
Cucu kepada Habib Muda itu, Abu Said Kamaruddin berkata, penetapan awal Ramadan ditetapkan bersama para ulama pengikut tarekat itu yang bersepakat 1 Ramadan jatuh pada Khamis.