Bawa suara rakyat: Demonstrasi mahasiswa gegar Indonesia

Bawa suara rakyat: Demonstrasi mahasiswa gegar Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Gerakan mahasiswa di Indonesia sekali lagi mencetuskan gelombang demonstrasi besar-besaran di beberapa wilayah seperti Palu, Bandung, Semarang, Palembang, Samarinda, Makassar, Ambon, Manokwari dan Jakarta.  

Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEM SI) yang bertindak sebagai penganjur benar-benar berhasrat menggerakkan mahasiswa menyampaikan suara rakyat sekali gus menjadikan acara tersebut terangkum dalam lipatan sejarah universiti.  

Kumpulan mahasiswa itu mengemukakan tiga tuntutan iaitu mendesak dan menuntut wakil rakyat agar mendengar dan menyampaikan aspirasi rakyat bukan aspirasi parti politik. 

Kedua, mereka menuntut wakil rakyat untuk menyahut aspirasi rakyat serta protes yang dilakukan dari pelbagai daerah dari 28 Mac sehingga semalam. 

Ketiga, menggesa wakil rakyat untuk menyampaikan kajian disertai 18 tuntutan mahasiswa kepada Presiden Indonesia yang belum terjawab hingga sekarang. 

Ribuan peserta berhimpun di bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sambil memakai jaket berwarna biru mewakili universiti mereka. 

Kelihatan peserta membawa bendera dan poster tertera perkataan ‘Tolak Presiden Tiga Penggal’ serta ‘Ku Rela Make Up ku Luntur, Asal Harga Minyak Turun’.  

Laluan trafik di kawasan TVRI menghala ke DPR menjadi sesak dengan kehadiran peserta protes sehingga kenderaan terpaksa berpatah balik.

Kekecohan turut dilaporkan berlaku di beberapa daerah menyebabkan pihak berkuasa melepaskan meriam air dan gas pemedih mata bagi menyuraikan keadaan.

 

RIBUAN POLIS, TENTERA DIKERAH 

Sebanyak 6,826 anggota gabungan Tentera Nasional Indonesia dan Polis Republik Indonesia dikerah untuk mengawal demonstrasi mahasiswa semalam.

Pihak berkuasa ditempatkan di dua lokasi iaitu di sekitar Monumen Nasional dan bangunan  DPR. 

Ketua Polis Metro Jaya, Fadil Imran berkata, sebanyak 5,626 anggota keselamatan dikerahkan di kawasan Monumen, manakala, di DPR jumlah anggota lebih ramai iaitu 1,200 orang. 

“Kita juga meminta kepada semua anggota yang bertugas supaya tidak bertindak kasar terhadap peserta demonstrasi dan mengutamakan kaedah lebih harmoni,” katanya.

 

OBJEK TAJAM 

Sementara itu, pihak polis menahan sekumpulan peserta demonstrasi di Jakarta selepas didapati membawa objek tajam. 

Pengarah Unit Siasatan Jenayah, Polis Metro Jaya, Tubagus Ade Hidayat berkata, walaupun mereka tidak melakukan apa-apa, namun dibimbangi mereka mengambil peluang melaksanakan perbuatan yang bertentangan undang-undang.

“Kita dapati sebahagian besar yang datang tidak mewakili mana-mana organisasi, tetapi lebih kepada ajakan dalam media sosial.  

“Kita mahu memastikan demonstrasi berlangsung dalam keadaan aman dan tertib. Kita juga meminta mahasiswa agar menggunakan kewarasan akal, kemurnian budi, kecerdasan minda dan keterampilan sahsiah semasa protes,” katanya. 

Dalam pada itu, seorang lelaki ditahan pihak polis kerana memanjat binaan air pancut di sekitar Patung Kuda, Jakarta Pusat. 

Tidak diketahui bagaimana lelaki itu memanjat sehingga bahagian atas air pancut sehingga menjadi tontonan masyarakat yang berhimpun.  

Anggota polis terpaksa menggunakan tangga untuk memanjat ke atas dan membawa turun lelaki itu. 

 

DEMONSTRASI BERSAMBUNG 

Dalam perkembangan sama, sejumlah mahasiswa dari universiti Jawa Timur akan menganjurkan demonstrasi serupa pada 14 April ini. 

Penyelarasnya, S. Andre Prasetyo Utomo berkata, keputusan itu dicapai bersama mahasiswa di seluruh Surabaya sejak Ahad lalu. 

Jelasnya, kesemua pelajar universiti itu bersetuju untuk turun ke jalanan pada tarikh tersebut. 

Katanya, terdapat beberapa isu yang akan disuarakan oleh kesatuan pelajar Surabaya. 

“Antaranya termasuk mendesak pihak kerajaan meratifikasi undang-undang berkaitan jenayah seksual,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya