Teknologi AI Pertanian bakal jadi tarikan utama MAHA 2026 - Utusan Malaysia

Teknologi AI Pertanian bakal jadi tarikan utama MAHA 2026

YUHAIZAD Abdullah (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus dan plakad selepas majlis perasmian Road To MAHA 2026 Zon Selatan di Mydin Hypermarket Bandar Jasin Bestari Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Pengenalan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian termasuk kaedah penanaman, pembajaan serta teknologi moden bakal menjadi antara tarikan utama pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September depan.

Ketua Sekretariat MAHA 2026, Datuk Dr. Mohd Haniff Hassan berkata, pendekatan berasaskan teknologi itu diperkenalkan bagi menarik minat golongan belia dan generasi muda untuk menceburi sektor agromakanan yang kini semakin berkembang selari dengan revolusi digital.

Menurut beliau, penggunaan AI dalam pertanian bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti, malah membantu petani mengoptimumkan kaedah penanaman, pembajaan serta pengurusan hasil secara lebih sistematik dan efisien.

“Inilah antara kelainan MAHA 2026 kali ini ialah kita mahu memperkenalkan teknologi AI dalam pertanian termasuk tata cara penanaman, pembajaan dan teknologi pertanian moden kepada masyarakat.

“Kita juga mahu menarik lebih ramai golongan muda melihat sektor pertanian sebagai industri masa depan yang mempunyai potensi besar,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Road To MAHA 2026 Zon Selatan di Mydin Hypermarket Bandar Jasin Bestari di sini hari ini.

Mohd Haniff berkata, MAHA 20206 yang dijadual berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dijangkakan mencatatkan nilai memorandum persefahaman (MoU) perdagangan mencecah RM8 bilion sepanjang ekspo berlangsung.

Menurutnya, MAHA 2026 dijangka menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer termasuk penyertaan daripada lima hingga enam negara luar seperti Kanada dan Hungary yang bakal membawa teknologi baharu serta produk hiliran pertanian negara masing-masing.

Katanya, penganjuran kali ini turut menyasarkan kehadiran 4 juta pengunjung sepanjang tempoh acara berlangsung selain potensi padanan perniagaan dan transaksi urus niaga bakal mencecah RM58 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN