SOOK: Sabah masih mengekalkan status sebagai negeri karbon negatif berdasarkan data inventori gas rumah hijau serta laporan terkini.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, status ini disokong oleh keluasan kawasan berhutan yang signifikan di negeri ini, yang menyumbang secara besar kepada kapasiti penyerapan karbon negara.
Katanya, peranan hutan dalam mengurangkan impak pemanasan global akibat perubahan iklim menjadi sangat kritikal.
Menurutnya, ini kerana hutan berfungsi sebagai “carbon sink”, iaitu kawasan yang menyerap lebih banyak karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera, seterusnya membantu menstabilkan sistem iklim global.
“Secara tidak langsung, hutan yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada aktiviti karbon khususnya hutan paya dan bakau boleh dikembangkan dalam sektor ekonomi alam semulajadi.
“Ini selaras dengan pembangunan sektor ekonomi biru dan ekonomi hijau di peringkat negeri,” katanya pada perasmian Hari Hutan Antarabangsa Kebangsaan bertempat di Dataran Sook, di sini, hari ini.
Katanya lagi, pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang melibatkan komuniti mampu mencapai keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat.
“Ini terbukti melalui inisiatif Jabatan Perhutanan Sabah melaksanakan projek-projek bersama komuniti setempat di bawah Tabung Projek Pemulihan Hutan,” katanya. – UTUSAN










